GIBRAN (tengah) yang juga anak Jokowi ketika lawatan di sekolah di Solo, Jawa. FOTO AFP.
GIBRAN (tengah) yang juga anak Jokowi ketika lawatan di sekolah di Solo, Jawa. FOTO AFP.
Agensi

Jakarta: Menteri Pertahanan Indonesia Prabowo Subianto mengumumkan anak sulung Presiden Joko Widodo atau dikenali Jokowi, akan menjadi gandingannya dalam pemilihan presiden tahun depan.

"Secara konsensus, semua bersetuju menyokong Prabowo Subianto sebagai calon presiden dan Gibran Rakabuming Raka sebagai calon naib presiden," kata Prabowo kepada media di luar kediamannya di ibu negara ini, pada Ahad.

Pemilihan Gibran, 36, yang kini Datuk Bandar Surakarta, Jawa Tengah, boleh membantu meningkatkan kempen bekas jeneral itu untuk jawatan tertinggi negara.

Bagaimanapun ia juga mencetuskan kritikan bahawa Jokowi cuba mewujudkan dinasti politik di negara demokrasi ketiga terbesar di dunia.

Minggu lalu, mahkamah mengekalkan peraturan bahawa calon bertanding perlu berumur sekurang-kurangnya 40 tahun tetapi diberi pengecualian bagi mereka yang sudah memegang jawatan awam.

Indonesia akan mengadakan pemilihan presiden dan pilihan raya pada 14 Februari 2024, dengan hampir 205 juta daripada lebih 270 juta rakyat layak mengundi.

Dalam pada itu, Widodo ketika ditanya mengenai penyertaan anaknya berkata, "saya menyerahkan kepada gabungan parti politik."

Beliau menambah, tugas ibu bapa adalah mendoakan anak-anak supaya diberkati.

Prabowo, 72, yang mencuba buat kali ketiga mendahului kebanyakan tinjauan pendapat tahun ini, berbanding calon parti pemerintah PDI-P, Ganjar Pranowo iaitu bekas gabenor Jawa Tengah yang dipasangkan dengan Ketua Keselamatan Menteri Mahfud MD, serta gabenor Jakarta Anies Baswedan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Oktober 2023 @ 3:55 PM