Reuters

Jakarta: Presiden Jokowi dijangka membatalkan pelantikan seorang pegawai kanan polis untuk menjadi ketua pasukan keselamatan itu selepas dijadikan suspek dalam kes rasuah, kata dua pegawainya semalam.

Kata sumber itu, Jokowi bersetuju menggugurkan nama Budi Gunawan dan mempertimbangkan nama lain sebagai ganti.

“Budi tidak akan menjadi Ketua Polis Indonesia dan ia sudah diputuskan oleh Jokowi,” katanya.

Pelantikan Budi yang pernah menjadi pegawai pendamping Ketua Umum Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) Megawati Sukarnoputri ketika menjadi presiden menimbulkan kemarahan ramai.

Antara lain, pelantikan itu dibuat atas kehendak dan kepentingan Megawati.

Jokowi adalah anggota parti PDI-P.

Kelmarin, Setiausaha Kabinet Indonesia, Andi Widjajanto memberitahu, Jokowi akan membuat pengumuman mengenai isu itu dalam minggu ini.

Sementara itu, penganalisis berkata, pembatalan pelantikan Budi akan membantu menaikkan imej serta populariti Jokowi di mata umum.

Paul Rowland berkata, pendirian terbaru Jokowi itu menunjukkan dia bertindak mengikut kehendak ramai yang dahagakan pembaharuan.

“Akhirnya dia perlukan sokongan rakyat untuk melaksanakan reformasi,” katanya.

Sumber dalaman PDI-P pula memberitahu, penarikan balik nama Budi akan mengeruhkan hubungan Jokowi dengan Megawati.

“Pada masa sama, Jokowi dan Megawati saling memerlukan dan bekas presiden itu menyedari keadaan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Februari 2015 @ 5:15 AM