TERUJA bakal bergelar bapa pada Jun ini.
TERUJA bakal bergelar bapa pada Jun ini.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Berkahwin dengan isteri, Fara Afiza Azman, 25, yang terikat dengan pengajian dalam bidang perguruan pada 22 Mac lalu banyak mengajar erti kesabaran buat pelakon, Hairi Safwan Aznan, 27.

Selama lima bulan mereka terpaksa ‘mengorbankan’ impian untuk tinggal bersama kerana ketika itu Fara terikat dengan latihan praktikal sebagai guru dan aktiviti pengajian di maktabnya.

Penantian ini akhirnya terlerai apabila Fara kini sudah menamatkan pengajian dan sekarang sudah bergelar guru di sebuah sekolah rendah di Shah Alam, Selangor dan lebih menggembirakan Fara kini hamil enam bulan.

“Alhamdulillah segalanya berjalan dengan baik. Fara dijangka bersalin pada awal Jun ini. Setakat ini kami belum tahu jantina anak ini kerana tak kelihatan ketika proses imbasan.

“Kalau ikutkan saya nak anak kembar, tapi tak kisahlah dapat seorang pun. Yang penting saya nak gembirakan keluarga saya dan mentua dengan kehadiran anak kami,” katanya.

Hairi berkata, memandangkan ini pengalaman pertamanya bakal bergelar bapa, dia banyak mendapatkan nasihat keluarga bagi memastikan kandungan Fara dalam keadaan baik.

“Saya memang suka merujuk keluarga kerana maklumlah saya belum arif dengan sifat ibu mengandung.

“Saya juga akan layan kehendak Fara sebaik mungkin. Sekiranya dia teringin makan sesuatu, saya pasti akan masakkan seperti masak lemak ketam, tomyam dan masak kicap,” katanya yang mengakui rezeki dalam lakonan juga semakin bertambah.

Sementara itu, Hairi juga terbabit menjayakan pementasan Mek Mulung Putera Cahaya Bulan yang akan dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya pada 28 Februari dan 1 Mac ini.

Biarpun hanya tampil dalam satu babak, dia menerima tawaran ini kerana mahu membalas budi Persatuan Penggerak Warisan Seni Budaya Negeri Kedah (AKRAB) yang juga penggerak teater ini.

“Saya melakonkan watak Wak Nujum yang hanya muncul sekejap dalam Mek Mulung. Itu bukan persoalan kerana saya sudah bersama AKRAB sejak 2001. Banyak pengalaman yang saya timba ketika menganggotai kumpulan ini sebelum melanjutkan pengajian dalam jurusan teater di Akademi Seni Budaya & Warisan Kebangsaan (ASWARA).

“Pada saya, Mek Mulung dan Mak Yong ada perbezaan sendiri. Genre Mak Yong susah kerana lagu dan gerak tarinya yang perlahan. Ini berbeza dengan persembahan Mek Mulung yang laju dan jalan ceritanya mudah.

“Saya gembira dapat beraksi dalam teater begini. Mak Yong diakui hebat kerana sudah dapat pengiktirafan UNESCO sebagai warisan negara. Mek Mulung belum mencapai tahap itu dan diberi peluang beraksi di Istana Budaya juga dikira satu pengiktirahan besar,” katanya.

Kerana kecintaannya terhadap teater tradisional ini, Hairi dan Fara memilih melangsungkan perkahwinan bertemakan Mek Mulung di Alor Setar, Kedah pada Jun tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Februari 2015 @ 11:13 AM