Usaha memulihara dan memartabatkan persembahan tradisional negara terus dipergiatkan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) yang diterajui Ketua Pengarahnya, Datuk Norliza Rofli.

Menerusi kerjasama de­ngan Grup Teater Akrab dan Istana Budaya, teater Mek Mulung Putera Cahaya Bulan yang dipercayai bermula di Ligor, Siam dan ber­kembang di Kampung Wang Tepus, Jitra, Kedah akan dipentaskan di Pang­gung Sari, Istana Budaya (IB) pada 28 Februari dan 1 Mac ini di bawah arahan dua pengarah, Saipol Bahari daripada Akrab dan Zulkarnain Ramly daripada JKKN.

Seperti teater lain, pelakon yang ditampilkan terdiri daripada barisan pelakon yang dikenali ramai iaitu Arja Lee, Izreen Azminda dan Hairi Safwan. Pelakon ini dipilih berdasarkan kemampuan mereka bercakap dalam dialek Kedah.

Mereka akan dibantu pelakon daripada Kumpulan Mek Mulung Seri Mahawangsa JKKN Kedah.

Norliza berkata, pementasan teater berusia 400 tahun ini adalah satu pengiktirafan kepada peng­giat seni tradisi khususnya Mek Mulung yang diisytiharkan sebagai teater tradisi oleh kerajaan Kedah.

“Pemilihan pelakon dibuat atas perbincangan dengan Ketua Pengarah IB, Datuk Mohammed Juhari Shaarani. Sudah pasti, mereka boleh bercakap dialek negeri ini kerana teater ini adalah teater tradisional bangsawan yang agak sukar.

“Untuk ambil pelakon yang tak mahir bercakap dialek Kedah juga agak berisiko kerana memerlukan masa yang agak panjang untuk latihan. Jadi, kami tawarkan peluang ini kepada Arja dan dia berani ambil risiko kerana nak cuba sesuatu yang baru,” katanya pada sidang media di IB, baru-baru ini.

Saipol tetap menganggap pementasan ini satu cabaran buatnya terutama dari segi penggunaan dialek Kedah tua yang yang sukar diterjemah untuk difahami penonton.

“Saya berdamping de­ngan orang-orang tua untuk dapatkan naskhah ini. Saya cuba buat perubahan, tapi kekalkan struktur asal jalan ceritanya. Memang bukan mudah nak cari maksud sebenar dalam bait-bait ayat pada naskhah asli Mek Mulung dan proses pemahaman me­ngambil masa agak lama.

“Untuk pentaskan di IB saja kami kena tunggu 12 tahun kerana perlu betul-betul mahir dan buat penambahbaikan persembahan. Bagi memudahkan penonton untuk faham, kami akan cairkan dialek Kedah dan adunkan dengan yang sekarang.

“Apabila diberitahu Arja dipilih memegang watak utama, saya tanya Datuk Norliza, dia berasal dari mana? Apabila dijelaskan dia dari Pulau Pinang, saya rasa pemilihan ini tepat. Tambahan pula, dia boleh menyanyi dengan baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Februari 2015 @ 9:46 AM