AMROUCHE dipecat sebagai jurulatih Tanzania selepas mengkritik Maghribi. -FOTO Reuters
AMROUCHE dipecat sebagai jurulatih Tanzania selepas mengkritik Maghribi. -FOTO Reuters
AFP

Abidjan: Tanzania memecat jurulatih, Adel Amrouche selepas beliau digantung lapan perlawanan dan didenda $10,000 (RM47,144) kerana komen yang diberikan mengenai Maghribi, kata seorang pegawai Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF) kepada AFP.

Pemecatan beliau disahkan oleh Persekutuan Bola Sepak Tanzania dengan Hemed Suleiman dinaikkan pangkat daripada penolong jurulatih kepada pengurus sementara bagi baki kempen Piala Negara-Negara Afrika.

Tanzania dari Kumpulan F tewas 0-3 kepada Maghribi pada hari Rabu di Ivory Coast dan menentang Zambia dan Republik Demokratik Congo dalam perlawanan seterusnya yang lain.

Sebelum Amrouche dipecat, seorang pegawai CAF berkata (organisasi) menggantung jurulatih itu selama lapan perlawanan selepas komen yang dibuatnya mengenai pegawai Maghribi dalam wawancara TV."

Amrouche digantung kerja dan didenda selepas Persekutuan Bola Sepak Diraja Maghribi memfailkan aduan kepada jawatankuasa disiplin CAF, mendakwa melanggar kod etika dan kelakuan.

"Persekutuan Maghribi sudah terbukti berkuasa dalam dunia bola sepak Afrika. Maghribi berkuasa atas bola sepak Afrika," kata Amrouche kepada TV Algeria dalam wawancara pra-Piala Negara.

Amrouche yang dilahirkan di Algeria mendakwa pegawai Maghribi dalam CAF memutuskan siapa pengadil perlawanan membabitkan pasukan kebangsaan ketika mereka bertemu.

"Kami mahu bermain perlawanan kelayakan Piala Dunia menentang Maghribi November lalu pada sebelah petang, tetapi CAF menjadualkan perlawanan itu pada sebelah malam," kata jurulatih itu.

Jurulatih itu percaya sepak mula pada sebelah petang di Dar es Salaam yang panas terik akan memihak kepada Tanzania kerana ramai pemain Maghribi akan datang dari kelab di Eropah yang umumnya sejuk.

Sebelum dilantik sebagai jurulatih Tanzania tahun lalu, pengendali berusia 55 tahun itu melatih Equatorial Guinea, Burundi, Kenya, Libya dan Botswana serta kelab di Republik Demokratik Congo dan Algeria.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 January 2024 @ 7:56 AM