Kuala Lumpur: Pengerusi CIMB Group, Datuk Seri Nazir Razak akan menerima Anugerah Pemimpin Perniagaan Asia ‘Asia House’ bagi 2015 pada majlis yang dijadualkan berlangsung di Banqueting House, Westminster pada 13 Oktober tahun ini.

“Beliau dipilih sebagai penerima anugerah tahun ini sebagai pengiktirafan terhadap pencapaiannya selama 26 tahun di CIMB Group”, kata Trustees of Asia House dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh pusat kepakaran mengenai Asia dan organisasi pan-Asia utama di United Kingdom.

Nazir berkata, beliau berharap anugerah itu akan meningkatkan perhatian kepada potensi ASEAN sebagai tempat untuk menjalankan perniagaan dan peluang untuk mewujudkan nilai oleh kumpulan tenaga manusia dan sumber daripada pelbagai negara Asean.

Sementara itu, Pengerusi Asia House Sir John Boyd berkata, mereka gembira untuk memperakui kejayaan dan kerja cemerlang Nazir.

“Nazir Razak, antara lain membuktikan faedah kerjasama dan perkongsian dalam ASEAN melalui sokongan beliau terhadap pembelajaran, penyelidikan bebas dan kerja kebajikan serta strategi perniagaan beliau yang berwawasan, menunjukkan bagaimana inisiatif meluas ASEAN secara komersial boleh menyatukan rakyat untuk faedah bersama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Februari 2015 @ 6:18 AM