CASTILLEJO sekat hajat Valencia.
CASTILLEJO sekat hajat Valencia.
Reuters

Madrid: Peluang Valencia merebut tiket kelayakan Liga Juara-Juara terjejas apabila tandukan Samuel Castillejo memberikan kemenangan 1-0 untuk Malaga dalam aksi La Liga di laman sendiri kelmarin.

Valencia memanfaatkan sepenuhnya duit diperuntukkan pemilik jutawan Peter Lim bagi memperkuatkan pasukan dan ketika pelaburan itu tampak berhasil dalam perlawanan di gelanggang sendiri termasuk kemenangan ke atas Real Madrid serta Sevilla, mereka bagaimanapun tercicir mata di tempat lawan.

Mereka kini menduduki tangga kelima dengan 41 mata manakala Malaga hanya ketinggalan dua anak tangga dengan 35 mata.

Real Madrid yang beraksi kurang satu perlawanan mendahului liga dengan 51 mata hasil kemenangan minggu lalu, satu mata mengatasi Barcelona dan akan menentang Sevilla di kubu kuat mereka hari ini.

Pertahanan Valencia tampak goyah apabila mereka membenarkan Castillejo melakukan tandukan tanpa dicabar untuk meletakkan Malaga di depan selepas menerima hantaran lintang Samuel Garcia pada babak pertama.

Malaga meneruskan rentak dengan menguasai bahagian tengah serta berpeluang menambah jaringan menerusi beberapa percubaan Juanmi sebelum tamat separuh masa pertama.

Pemain pertahanan Valencia Joao Cancelo dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-74 kerana mengasari Ignacio Camacho.

Malaga kemudian terlepas peluang terbaik untuk melebarkan kedudukan apabila rembatan Nordin Amrabat dari jarak 20 meter terkena palang.

“Kami berusaha keras dan berhak menang,” kata penyerang Malaga Javi Guerra. “Kami akan terus berjuang dan memperbaiki kedudukan.”

Pemain pertahanan Valencia, Jose Gaya berkata, mereka perlu mengubah nasib buruk berbanding di Mestalla.

“Kami bergelut apabila bermain di gelanggang lawan kerana tidak bermain baik. Kami berusaha keras dan semakin meningkat,” kata Gaya.

“Gol itu memberi kesan kepada kami dan kami gagal untuk bangkit.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Februari 2015 @ 6:03 AM