REAKSI Gameiro (kiri) selepas ledak gol ketika menentang Deportivo. - Foto REUTERS
REAKSI Gameiro (kiri) selepas ledak gol ketika menentang Deportivo. - Foto REUTERS
AFP

SEVILLE: Atletico Madrid merapatkan jurang dengan pendahulu La Liga Barcelona kepada sembilan mata selepas penalti Kevin Gameiro memberikan kemenangan 1-0 ke atas Deportivo La Coruna malam tadi.

Keputusan seri 2-2 Barca di Sevilla pada Sabtu memberikan peluang keemasan buat Atletico untuk merapatkan jurang dengan skuad Catalan itu, dan ia dimanfaatkan dengan kemenangan bermakna di Wanda Metropolitano.

Gameiro tidak mensia-siakan peluang penalti pada minit ke-34 apabila pengadil Daniel Trujillo mengesan pemain Atletico, Saul dijatuhkan oleh Pedro Mosquera.

Ketika skuad kendalian Diego Simeone masih berharap Barcelona tercicir mata dalam baki lapan perlawanan, Deportivo juga memerlukan keajaiban untuk mengelak daripada penyingkiran. Mereka kini di tangga ke-19 dan lapan mata di bawah zon selamat.

Sementara itu, Valencia mara selangkah lebih dekat dengan kelayakan ke Liga Juara-Juara selepas bintang harapan Sepanyol Rodrigo Moreno meledak gol dalam kemenangan 1-0 ke atas Leganes.

Kemenangan itu lebih bermakna selepas Villareal tewas 1-0 di tangan Malaga, memberikan Valencia jurang selesa 15 mata di tangga keempat. Gonzalo Castro meraih kemenangan untuk Malaga menerusi sepakan penalti.

Espanyol dan Alaves seri tanpa jaringan manakala perlawanan Eibar dan Real Sociedad juga berakhir 0-0.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 April 2018 @ 10:38 AM