Penyerang Athletic Bilbao, Inaki Williams (kiri) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan ketika menewaskan Sevilla pada aksi La Liga. FOTO AFP
Penyerang Athletic Bilbao, Inaki Williams (kiri) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan ketika menewaskan Sevilla pada aksi La Liga. FOTO AFP
AFP

Madrid: Peluang Sevilla menjuarai saingan La Liga mungkin sudah berakhir selepas kekalahan mengejut ke atas Athletic Bilbao pagi ini, ketika Inaki Williams menjaringkan gol tunggal kemenangan pada minit ke-90 di Stadium Ramon Sanchez Pizjuan.

Jaringan pertama Williams sejak Februari itu memberikan kemenangan 1-0 buat Athletic manakala Sevilla ketinggalan enam mata di belakang pendahulu, Atletico Madrid berbaki empat perlawanan.

Sevilla selepas ini akan berdepan Real Madrid pada Ahad di Valdebebas yang menjadi bahagian kedua terpenting hujung minggu ini dalam pemburuan gelaran selepas Barcelona berdepan Atletico pada Sabtu.

Atletico kini dua mata di depan Real Madrid dan Barca selepas mereka mengetepikan Elche pada Sabtu, sebelum Real Madrid menewaskan Osasuna dan Barcelona menewaskan Valencia semalam.

Sevilla mempamerkan prestasi terbaik di kelompok atas liga selepas menang lima perlawanan berturut-turut tetapi peluang mereka memintas tiga pasukan teratas tampak tipis.

Pasukan itu perlu menewaskan Real Madrid bagi menghidupkan peluang sebelum menamatkan musim di laman sendiri berdepan Valencia, beraksi di Villarreal dan berdepan Alaves.

Williams menahan rasa gementar pada saat penting apabila Oihan Sancet memecahkan benteng lawan dan menghantar kepada rakan sepasukan.

Pemain Sevilla, Fernando melintangkan bola dan Williams ada masa untuk memilih sasaran dan meledak jaringan di penjuru gawang gol.

Kemenangan membolehkan Athletic Bilbao berada di tangga ke sembilan sementara Sevilla di tangga keempat dengan 70 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Mei 2021 @ 8:06 AM