Bersama AHMAD SALIHIN ABD RAHIM

Enjin kereta saya tidak dapat dihidupkan pada waktu pagi ketika hendak ke pejabat, baru-baru ini. Selepas diperiksa rakan mekanik, dia mengatakan bateri tamat tempoh dan perlu diganti.

Bagaimana untuk mengetahui sama ada punca sebenarnya adalah bateri atau sebaliknya bagi mengelakkan saya menukar bateri yang masih baik?

BORHAN

Perak

Jika anda bukan mekanik terlatih, sukar mengetahui apa menyebabkan kereta tidak dapat dihidupkan pada waktu pagi.

Ini berikutan yang paling biasa bagi kereta sukar dihidupkan adalah bateri sudah nyah cas atau lebih lazim dikatakan sebagai bateri mati.

Bateri mati boleh disebabkan oleh banyak faktor, umpamanya terlupa memadam lampu kabin semalaman atau 'alternator' sudah haus sehingga berlaku kegagalan mengecas semula bateri.

Jika mempunyai penguji bateri yang boleh mengukur voltan dan arus ampere yang dikeluarkan ketika enjin berputar, anda boleh menguji bateri untuk melihat jika ia lemah.

Bateri perlu berada pada 12.5 volt ketika enjin dimatikan, sebaliknya 13.5 volt selepas enjin dihidupkan.

Ini kerana dalam usaha mengecas bateri, alternator perlu mewujudkan sekurang-kurangnya satu volt lebih daripada biasanya diperlukan oleh sistem.

Periksa tahap elektrolit dalam bateri jika menggunakan bateri basah biasa. Bagaimanapun, bateri tanpa-senggara MF (maintenance-free) tidak boleh diperiksa tahap elektrolitnya dan perlu ditukar jika tamat tempohnya.

Jika masih mampu menghidupkan kereta dengan menyambung pada kereta lain, masalah paling mungkin berlaku ialah bateri mati.

Jika kereta masih mampu beroperasi lancar dengan enjin tidak tersengguk-sengguk dan dihidupkan keesokan paginya, bateri anda mungkin masih boleh digunakan. Jika ujian voltan menunjukkan sebaliknya, tiba masanya untuk menggantikan bateri anda.

Sebaik saja menggantikan bateri, bersihkan sambungan bateri untuk memastikan hubungan baik antara kabel dan komponen itu. Cara itu akan menjamin bateri baru menerima kuasa yang diperlukan dari alternator.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Februari 2015 @ 5:01 AM