PANAS enjin hingga pusingan enjin melahu dengan ‘tenang’.
PANAS enjin hingga pusingan enjin melahu dengan ‘tenang’.
Ahmad Salihin Abd Rahim


Berapakah masa minimum yang sesuai untuk menghidupkan kereta pada waktu pagi.

Selain itu, apakah kesan jika membasuh enjin kereta. Ini kerana saya dimaklumkan enjin akan terjejas jika kerap membasuhnya.

RAHMAT, Kuala Lumpur

Ada beberapa pendapat berhubung pemanasan enjin pada waktu pagi sebelum memulakan perjalanan. Malah ada yang mengatakan bahawa ia tidak perlu.

Namun, ia sebenarnya berfungsi seperti manusia yang harus memanaskan badan sebelum melakukan aktiviti bagi mengelakkan kejutan.

Kenderaan direhatkan semalaman akan menyebabkan komponen logam mengecut sedikit. Bergantung kepada lokasi dan kegunaannya, ini akan menjadikan komponen itu lebih ketat atau longgar. Kerana itu, cukup sekadar memanaskan enjin hingga pusingan enjin melahu dengan ‘tenang’.

Pemanasan kadangkala hanya mengambil masa lima minit bagi enjin moden yang mempunyai injap pemanas dalam sistem penyejukannya. Injap itu akan menghalang bahan cecair penyejuk enjin daripada mengalir supaya lebih cepat panas ke suhu operasi.

Perlu dipertimbangkan juga bahawa semua minyak pelincir yang berada pada dinding enjin mungkin berada dalam takungan selepas dibiarkan semalaman.

Oleh itu, elakkan daripada membebankan enjin selepas dihidupkan pada waktu pagi bagi mengelakkan kehausan yang mungkin berpunca kekurangan minyak pelincir.

Tidak salah untuk membersihkan ruangan enjin tetapi ia perlu dilakukan dengan cara yang betul dan teratur.

Enjin kereta diperbuat daripada bahan logam yang berubah bentuk sekiranya mengalami perubahan suhu mendadak. Jika enjin masih panas, elak menyiramnya dengan air sejuk atau meredah air yang dalam.

Ini mungkin menyebabkan kerosakan kekal pada beberapa komponen enjin sekali gus mengakibatkan kegagalan beroperasi atau kebocoran pelapik.

Justeru, pastikan enjin anda sudah sejuk sedikit sebelum membasuhnya dan elakkan membasahi bahagian elektrik.

Sambungan elektrik yang terlalu basah boleh mengakibatkan litar pintas pada bahagian voltan tinggi seperti litar palam pencucuh.

Selain itu, enjin mempunyai lubang kemasukan udara. Pastikan ia tertutup sebelum anda membasuh ruang berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Jun 2016 @ 5:02 AM