Oleh Faizatul Farlin Farush Khan

Deretan pakaian anggun dan penuh warna di butik Popwardrobe di Garden Shoppe One City, Subang Jaya, pasti mampu menggamit peminat rangkaian fesyen yang dahagakan aliran rekaan terkini.

Menampilkan lebih 600 produk daripada 15 peniaga pakaian dalam talian, Popwardrobe menjanjikan kepuasan kepada pelanggan melalui produk yang berkualiti dan sentiasa mengikut pasaran.

Sesuai dengan slogan Fesyen dan Gaya Hidup, butik itu tidak hanya memberi tumpuan kepada fesyen Muslimah, sebaliknya koleksi pakaiannya sesuai untuk semua wanita yang mementingkan penampilan bergaya.

Pengurus Popwardrobe Aizad Abdullah berkata, antara peniaga pakaian dalam talian yang menjual produk di butiknya ialah Hijau Gallery, Mydezingner Label, Oasis of Muslimah Apparel dan Serikapas.

"Kami menawarkan koleksi unik daripada pereka fesyen terkenal dalam talian. Malah harga yang kami tawarkan juga istimewa melalui kerjasama yang baik dengan mereka.

"Tidak hanya terhad kepada pakaian saja, pelanggan juga boleh membeli barangan hiasan rumah, minyak wangi, permainan kanak-kanak dan produk kecantikan serta kesihatan," katanya yang turut memaparkan koleksi di www.popwardrobe.com, Facebook/Popwardrobe dan Instagram/Popwardrobe.

Selain pakaian dewasa seperti baju kurung, jubah, blaus, skirt, seluar palazo, tudung, selendang dan beg tangan berjenama, butik berkenaan turut menjual gaun kanak-kanak yang sesuai untuk majlis.

Lebih menarik, suasana kedai yang eksklusif, damai, tersusun cantik dan menyediakan ruangan santai membuatkan pelanggan berasa tenang sambil mencuba pakaian di bilik persalinan yang luas.

"Apa yang penting, kami sangat mementingkan fesyen terkini dan memastikan pelanggan sentiasa bergaya mengikut aliran fesyen," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 January 2015 @ 5:22 AM