Yusliza Yakimir Abd Talib

Fesyen Muslimah bukan lagi asing di negara ini, malah industri itu boleh dikatakan sebagai lubuk rezeki buat mereka yang menceburinya.

Selain memberi banyak pilihan untuk Muslimah, persaingan sihat dalam kalangan pengusaha dapat memberi nilai tambah untuk mereka sentiasa memperbaiki kualiti rekaan dan material yang digunakan demi kepuasan pelanggan.

Justeru, butik Aisara tidak mahu ketinggalan menawarkan pilihan buat Muslimah yang bukan saja selesa malah mengekalkan ciri seperti dituntut dalam Islam.

Pemiliknya, Anida Ayeb, 41, berkata, butik itu cuba memenuhi cita rasa Muslimah yang tidak mahu ketinggalan berfesyen dan pada masa sama tetap patuh syariah.

Butik itu juga menyediakan koleksi pakaian yang memerlukan penyelenggaraan minimum bagi menjimatkan masa.

“Idea yang tercetus adalah melalui keperluan, pengalaman dan pengamatan sendiri. Saya melihat keperluan wanita berhijab untuk berfesyen dan pada masa sama tetap mematuhi syariah, menutup aurat dengan betul.

“Sebagai wanita berkerjaya, saya faham masa menjadi faktor penting yang diambil kira dalam memilih busana. Oleh itu butik ini menghasilkan koleksi yang mudah digayakan, tak perlu digosok tapi masih tetap kelihatan anggun,” katanya.

Menurut Anida, dia agak cerewet memilih warna dan rekaan malah sentiasa melihat perkembangan semasa bagi memastikan ton warna yang dipilih sentiasa segar dan terkini serta memenuhi kehendak pelanggan.

Disebabkan itu, pilihan warna di butik Aisara agak terhad kerana dia mahu rekaannya sentiasa eksklusif dalam menyerlahkan penampilan Muslimah sejati.

Mengusahakan butik itu bersama suami, Jalal Sayuti Mohamed Yunus, Anida berkata, terdapat beberapa material yang menjadi pilihannya termasuk lycra.

“Walaupun baru-baru ini ada isu penggunaan material lycra yang kononnya bercanggah dengan fesyen Muslimah, butik ini tetap memilih fabrik itu kerana ia mudah diurus.

“Bagaimanapun, sudah pasti lycra yang dipilih berkualiti tinggi. Kami hanya memilih lycra yang sejuk dan tidak melekap pada badan. Selain itu, terdapat pilihan material lain seperti moss crepe dan denim.

“Kebanyakan pelanggan setia memang faham pilihan material kami tidak nipis dan jarang malah semuanya sesuai dengan suasana dan iklim tropika di negara kita,” katanya.

Menyingkap sejarah penubuhan butik itu, Anida dan suami mula berjinak-jinak dalam menghasilkan koleksi sejak 2013 secara kecil-kecilan dan lebih cenderung kepada pemerhatian terhadap cita rasa dan keperluan Muslimah di Malaysia untuk berfesyen.

Ketika itu, koleksi mereka ditempatkan di 12 butik vendor di Malaysia termasuk di Melaka dan Pulau Pinang.

Melihat kepada corak dan permintaan yang sangat baik, mereka nekad membina jenama Aisara dan membuka butik pada April lalu di Nilai, Negeri Sembilan.

“Kami juga faham faktor harga elemen penting untuk pelanggan berbelanja pada masa kini. Jadi butik Aisara cuba sedaya upaya menyediakan koleksi dengan harga mampu milik.

“Kebanyakan koleksi di bawah RM150, namun kami turut menyediakan koleksi eksklusif untuk nilai lebih RM150, tapi fokus utama kami tetap kepada kualiti produk,” katanya.

Dari segi misi dan visi untuk memperkembangkan perniagaan syarikat, butik ini merancang menambah koleksi mereka.

Ia kini dalam proses melancarkan blaus dan tudung labuh dalam masa terdekat selain menyediakan koleksi jubah dan kurta untuk lelaki yang masih di peringkat pemilihan material dan rekaan.

Koleksi butik itu boleh didapati menerusi Facebook Aisaracollection2 dan Instagram Aisaracollection.

Pelanggan juga boleh mendapatkan koleksi Aisara secara terus di butiknya yang beroperasi dari Isnin hingga Sabtu dari 10 pagi hingga 7 malam di Lot A48 D’Streetmall, Kota Seriemas Nilai, Negeri Sembilan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Oktober 2016 @ 5:03 AM