Ho  (kiri) pada majlis pelancaran dana gudang, RHB-OSK Global Equity Stabiliser Fund, semalam.
Ho (kiri) pada majlis pelancaran dana gudang, RHB-OSK Global Equity Stabiliser Fund, semalam.

Kuala Lumpur: RHB Asset Management Sdn Bhd (RHBAM) menyasarkan RM58 bilion aset di bawah pengurusannya (AUM) menjelang akhir tahun ini berbanding RM48.56 bilion yang dicatatkan tahun lalu bersandarkan kepada perkembangan positif pelaburan dalam ekuiti dan pelancaran produk baru di Malaysia serta rantau Asean.

RHBAM turut menyasarkan 16 produk pelaburan baru di Malaysia dan 25 produk di rantau Asia terutama di Asean bagi merancakkan peningkatan pelaburan dalam syarikatnya tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Kumpulan Pengedaran Peruncitannya, Ho Seng Yee berkata, Malaysia menjadi pasaran terpenting bagi RHBAM memandangkan setakat tahun lalu ia menyumbang sekitar 82 peratus kepada AUM dari sembilan negara pasarannya.

Beliau berkata, tahun ini RHBAM mengunjurkan sumbangan Malaysia akan berkembang antara 82 hingga 85 peratus memandangkan produk yang diperkenalkan mempunyai pelbagai sasaran pelabur.

“Setakat akhir tahun lalu, kami sudah memperkenalkan 140 produk pelaburan apabila 120 daripadanya untuk pasaran tempatan meliputi peruncitan, keuntungan tinggi dan korporat. Tambahan, Malaysia mempunyai pertumbuhan yang stabil walaupun berdepan dengan situasi ekonomi yang mencabar.

“Kejatuhan harga minyak yang memberi kesan kepada kelemahan ringgit membolehkan pelaburan dalam bidang ekuiti terutama dalam sektor eksport, pembinaan dan pembuatan kerana ia boleh memberi pulangan pada masa depan,” katanya pada pelancaran dana gudang, RHB-OSK Global Equity Stabiliser Fund di sini, semalam.

RHB-OSK Global Equity Stabiliser Fund adalah produk pelaburan yang stabil memandangkan ia melindungi pelabur daripada ketidaktentuan pasaran ekuiti global. Dana itu ditawarkan dalam mata wang ringgit dan tidak membabitkan dagangan mata wang asing.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 January 2015 @ 9:01 AM