Oleh Mohd Hassan Adli Yahya

Kontroversi penganjuran 'Octoberfest' oleh sebuah syarikat arak terbesar di negara ini mungkin sedikit meng-ganggu sensitiviti kita, terutama yang beragama Islam.

Sebagai umat Islam, di mana juga tahap pegangan agamanya, dia pasti mengetahui arak tiada tempat di sisi agama Islam. Pengharaman arak berlandaskan hukum nas di dalam al-Quran dari surah al-Ma'idah, ayat 90.

"Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan menilik nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya, mudah-mudahan kamu berjaya."

Jelas arak diharamkan ke atas umat Islam. Namun saya percaya bukan arak sebenarnya yang menjadi isu utama.

Sebaliknya, ia adalah penganjuran program berkaitannya di dalam negara kita yang dikenali sebagai antara negara contoh bagi negara Islam lain.

Malaysia menjadi contoh negara Islam dalam pelbagai perkara seperti pendidikan, kewangan dan pembangunan. Tidak keterlaluan untuk mengatakan, Malaysia antara negara Islam paling pesat membangun di rantau ini.

Isu penganjuran pesta arak seperti 'Octoberfest' sebenarnya meletakkan negara kita di dalam dilema serta menguji sejauh mana kebijaksanaan kepemimpinan negara ini membuat keputusan. Ibarat menarik rambut di dalam tepung, rambut dapat ditarik dan tepung tidak berselerakan.

Di dalam kita mematuhi apa yang ditegah Allah, dalam perspektif yang lain kita menghormati hak penganut agama lain. Ini dapat dilihat di dalam makna ayat 8 dan 9, Surah al-Mumtahinah yang bermaksud:

"Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agamamu, dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; Sesungguhnya Allah me-ngasihi orang yang berlaku adil.

"Sesungguhnya Allah hanya melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halamanmu, serta mereka membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah) sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, mereka itulah orang-orang yang zalim."

Penghormatan terhadap masyarakat bukan Islam dibuktikan oleh Rasulullah. Peristiwa ini dapat kita hayati menerusi sirah Nabawiyah. Perhatikan ketika peristiwa Piagam Madinah yang terkenal di dalam sejarah Islam.

Baginda menyeru umat Islam menjaga hak keharmoniaan manusia sekalipun kepada bukan Islam. Ia adalah lambang keadilan Islam terhadap umat manusia keseluruhannya.

Di antara yang terkandung dalam Piagam Madinah ialah sesiapa yang hidup dan tinggal di wilayah Madinah, baik Islam atau bukan Islam, dengan syarat tidak berbuat zalim, hendaklah dilindungi dan diberi keamanan di bawah kekuasaan Islam yang suci.

Hadis riwayat Abu Daud bermaksud: "Barang siapa menyakiti orang bukan Islam yang berada di bawah perlindungan Islam, maka ia menyakiti aku, dan barang-siapa yang menyakiti aku, maka ia menyakiti Tuhan." (Riwayat Abu Daud)

Seharusnya umat Islam memahami tuntutan keadilan dan toleransi ini. Namun, toleransi yang dimaksudkan bukan bererti kita mengakui doktrin keyakinan mereka kerana dalam soal akidah Islam tidak sama sekali berkompromi dengan syirik.

Toleransi yang dimaksudkan oleh Islam ialah di dalam muamalah harian di samping akhlak yang baik mampu menjadi satu dakwah mereka kepada Islam yang suci.

Sebagai sebuah negara majoritinya umat Islam, bertoleransi menghormati hak penganut agama lain, ada baiknya juga dalam masa sama ada sedikit sifat tegas. Tegas dan bersungguh-sungguh membela agama Islam ini.

Kita tidak mengharamkan, malah membenarkan arak dijual kepada mereka, ini satu toleransi baik dan kita tidak mempunyai apa-apa masalah untuk mereka meminumnya selagi mana tidak memudaratkan perkara lain.

Sebaliknya, penganjuran pesta arak secara terbuka serta publisiti meluas melalui papan tanda dan dada akhbar, pada saya, ini kurang wajar.

Sememangnya pesta ini untuk mereka saja dan diharamkan ke atas umat Islam. Namun, bagaimana pula dengan persepsi yang terbina secara senyap dalam diri umat Islam yang nipis tahap imannya yang boleh mengubah pandangan mereka terhadap arak?

Begitu juga dengan rasa ingin tahu yang mungkin timbul selepas melihat mereka 'seronok' meneguk minuman yang diharamkan ini? Siapa yang boleh memberi

jaminan untuk semua ini?

Saya merasakan kita masih kekurangan program dakwah untuk mengajak mereka mengenali Islam dengan lebih dekat. Justeru ada kewajarannya untuk tidak membiarkan mereka terus jauh daripada Islam sementara dalam masa sama mendekatkan umat Islam kepada lebih kekeliruan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Oktober 2014 @ 2:36 AM