ISLAM kini bertapak kukuh di China.
ISLAM kini bertapak kukuh di China.
Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin

Kepelbagaian bangsa dan agama menjadikan Malaysia sebagai negara yang dipenuhi dengan adat, budaya serta perayaan yang disambut pada setiap tahun.

Terdapat beberapa perayaan disambut secara besar-besaran seperti Aidilfitri, Aidiladha, Tahun Baru Cina, Deepavali, Gawai dan Kaamatan.

Masyarakat Muslim baru saja menyambut Hari Raya Aidilfitri selepas sebulan berpuasa.

Pada setiap kali sambutan Aidilfitri, kita dapat lihat berlakunya interaksi sosial antara kaum terutamanya ketika diadakan majlis rumah terbuka.

Pada majlis itu, setiap bangsa dan agama dijemput hadir untuk bersama-sama memeriahkan perayaan itu. Interaksi antara anggota masyarakat adalah salah satu prinsip penting dalam kehidupan.

Seorang Muslim disaran menjalinkan hubungan baik dan mesra serta memuliakan jiran-jirannya tanpa mengira bangsa atau agama mereka.

Dalam sebuah hadis yang bermaksud: “(Malaikat) Jibril terus- menerus memberi wasiat kepadaku mengenai jiran-jiranku sehinggakan aku kira jiran itu termasuk dalam ahli waris.”

Hal itu juga dapat dilihat bagaimana Allah SWT menyebut mengenai ‘habluminannas’ (hubungan dengan manusia) dalam Surah Ali-Imran ayat 112.

Tidak mungkin seorang manusia hidup seorang diri tanpa bantuan orang lain. Dalam era ini, pelbagai urusan memerlukan kita berinteraksi antara satu sama lain termasuklah dalam hal politik, sosial mahupun soal kepemimpinan sebuah negara.

Bagaimanapun, paling utama yang perlu ditekankan bagi seorang Muslim adalah hubungan mereka dengan Allah SWT (hablumminallah).

Seorang Muslim turut dituntut berinteraksi dengan masyarakat bukan Islam untuk berkongsi keindahan Islam serta memberi pencerahan kepada mereka.

Apabila wujudnya kelemahan interaksi dengan masyarakat lain menyebabkan Islam dipandang serong masyarakat bukan Islam.

Cara hidup Rasulullah SAW dan sahabat menjadi contoh terbaik bagi kita dalam memupuk hubungan dengan masyarakat tanpa mengira agama dan bangsa.

Sejarah Islam menunjukkan hubungan baik antara Muslim dan bukan Muslim ketika pemerintahan Islam. Rasulullah SAW dan sahabat tidak pernah menggunakan kuasa untuk berlaku tidak adil kepada penduduk bukan Islam.

Ini bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu) dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.” (Surah al-Mumtahanah, ayat 8)

Pada awal kebangkitan Islam, kebanyakan negara sebenarnya ditawan melalui akhlak Muslim itu sendiri berbanding cara peperangan.

Akhlak orang Islam terdahulu berinteraksi dengan masyarakat setempat berjaya menawan hati mereka.

Islam mementingkan toleransi, belas kasihan serta hubungan baik antara masyarakat. Ini demi menjadikan negara aman serta mengelakkan timbulnya perkara tidak diingini.

Penulis ialah Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) dan profesor di Universiti Putra Malaysia (UPM)

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Jun 2017 @ 10:00 AM