SAJIDA ketika ditangkap polis Jordan pada 2005.
SAJIDA ketika ditangkap polis Jordan pada 2005.

Amman: Siapakah wanita yang dituntut militan Negara Islam (IS) supaya dibebaskan bagi menjamin seorang warga Jepun tidak dipancung?

Dia ialah Sajida al-Rishawi dan dikenali sebagai suspek pengebom berani mati untuk kumpulan berkaitan al-Qaeda.

Sajida, 40-an, ditangkap pihak berkuasa Jordan pada 2005 sejurus selepas mencuba - dan gagal - meletupkan dirinya sebagai sebahagian daripada siri pengeboman hotel di Amman.

The New York Times melaporkan, sekurang-kurangnya 57 orang maut dalam serangan itu.

Sajida pergi ke ibu negara Jordan itu bersama suaminya, Hussein Ali al-Shamari, menggunakan pasport palsu.

Pasangan suami isteri dari Iraq itu tinggal di Amman lima hari sebelum serangan dilancarkan.

Mereka menyasarkan sebuah majlis perkahwinan di sebuah hotel.

Apabila mendapati Sajida sukar menghidupkan bom yang ada pada tubuhnya, Hussein menolak isterinya itu keluar dari dewan berkenaan sebelum dia sendiri meledakkan dirinya.

Seramai 38 orang terbunuh di situ.

Sajida melarikan diri, tetapi ditangkap pihak berkuasa tidak lama kemudian.

CNN melaporkan, Sajida mengaku serangan itu adalah idea suaminya.

Sajida juga adik kepada orang kanan ketua al-Qaeda di Iraq. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 January 2015 @ 5:07 AM