SEORANG wanita memegang gambar wartawan Kenji Goto ketika perarakan mengecam  Abe di depan kediaman rasminya di Tokyo, semalam.
SEORANG wanita memegang gambar wartawan Kenji Goto ketika perarakan mengecam Abe di depan kediaman rasminya di Tokyo, semalam.
Agensi

Tokyo: Berat mata memandang berat lagi kesedihan dan kehampaan ditanggung keluarga serta rakan Kenji Goto selepas rakaman video menunjukkan wartawan perang itu dipancung kumpulan militan Negara Islam (IS) disiarkan dalam Internet semalam.

Perasaan pilu tentulah amat dirasai ibu Goto, Junko Ishido sehingga dia hampir tidak dapat bersuara bagi meluahkan bebanan perasaan dialaminya.

Ketika ditemui media di rumahnya di Koganei, barat Tokyo, Junko berkata, tiada perkataan dapat menggambarkan perasaannya ketika itu.

“Apa yang saya mampu lakukan cuma meratapi pemergian Goto,” katanya.

Goto, 42, adalah warga Jepun kedua dibunuh militan IS selepas tuntutan mereka untuk mendapatkan wang pembebasan bernilai AS$200 juta (RM726.7 juta) tidak ditunaikan Tokyo.

Sebelum ini, IS memancung rakan Goto, Haruna Yukawa pada atau sebelum 24 Januari lalu.

Selain menuntut wang bagi pembebasan Haruna dan Goto, IS juga mengugut Jordan dengan mengancam membunuh seorang juruterbang tentera udara negara itu, Muath al-Kaseasbeh, jika tidak membebaskan Sajida al-Rishawi - wanita warga Iraq yang ditangkap kerana cuba meletupkan dirinya di sebuah hotel.

Setakat ini belum diketahui nasib Muath dan Sajida.

IS memberi dua tempoh akhir kepada Tokyo untuk menunaikan tuntutan mereka.

Junko, 78, berkata dia amat berharap seluruh rakyat Jepun tidak membenci anaknya walaupun sesetengah pihak mengecam tindakan Goto pergi ke Syria sehingga menyebabkan dia diculik.

“Saya amat berharap kita dapat menunaikan hasrat Goto untuk mewujudkan masyarakat tanpa perang dan menyelamatkan nyawa kanak-kanak daripada konflik serta kemiskinan,” katanya.

Sementara itu bapa Haruna, Shoichi Yukawa, 74, memberitahu media, dia amat sedih dengan kematian Goto.

“Saya tahu Goto ke Syria untuk menyelamatkan anak saya. Saya benar-benar bersimpati terhadap keluarganya. Dia seorang yang amat dihormati. Saya kesal kerana tidak mampu berkata apa- apa lagi,” katanya.

Sementara itu, seorang wartawan bebas, Naomi Toyoda, berkata dia pernah cuba menyelamatkan Goto sejak krisis terjadi pada 20 Januari lalu.

“Ia sangat mengecewakan. Saya minta maaf kerana tidak dapat menyelamatkannya

Toyoda sebelum ini mengeluarkan dua kenyataan menerusi Persatuan Wartawan Visual Jepun merayu pembebasan Goto dalam bahasa Inggeris, Arab dan Jepun.

Katanya, dia amat berang dengan kumpulan pengganas itu dan kerajaan Jepun sendiri.

“Beritahu saya apa yang dilakukan kerajaan selama ini? Bolehkan mereka bersumpah yang mereka telah melakukan yang terbaik untuk berunding dengan IS?

“Adakah mereka benar-benar mahu menyelamatkan Goto dan Haruna? Saya marah, kecewa malah berasa meluat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Februari 2015 @ 6:14 AM