FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Agensi

Amman: Seorang lelaki di Jordan ditahan selepas didapati menyamar sebagai remaja perempuan dan menduduki peperiksaan sekolah menengah di negara itu.

Selain memakai tudung dan jubah, suspek turut menyolek wajah untuk menyembunyikan identitinya.

Jordan Times melaporkan lelaki itu ditahan di sebuah sekolah di bandar Zarqa kira-kira 25 kilometer di timur Amman.

Jurucakap media Direktorat Keselamatan Awam memaklumkan, rahsia lelaki itu terbongkar selepas ia dikesan penyelia dewan peperiksaan.

Penyelia itu mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena sebelum melaporkan perkara itu kepada anggota keselamatan.

Pemeriksaan kemudian mendapati lelaki berkenaan bukannya pelajar perempuan yang sepatutnya hadir untuk menduduki peperiksaan.

Lelaki itu akhirnya ditangkap dengan kerjasama pengawas dewan peperiksaan.

Media tempatan bagaimanapun belum mendedahkan hubungan antara suspek dan pelajar sekolah menengah itu.

Sementara itu, portal Roya News melaporkan suspek dipercayai menduduki peperiksaan bagi subjek Tawjihi.

Seorang sumber memberitahu suspek mengaku sudah dua kali melakukan perbuatan itu. -Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Julai 2020 @ 7:00 AM