Milan: Juara bertahan Juventus bertandang ke gelanggang Sassuolo hari ini dengan misi untuk mengekalkan kedudukan teratas Serie A manakala pencabar terdekat Roma menegaskan perebutan kejuaraan baru saja bermula.

Juventus memiliki kelebihan tiga mata di puncak liga dua minggu lalu selepas memenangi aksi panas dengan Roma 3-2 di Turin yang menyaksikan skuad Bianconeri itu melepaskan gol pertama dalam kempen kali ini.

Meskipun tewas, penjaga gol Roma, Morgan De Sanctis menegaskan, pertembungan dua pasukan teratas itu membuktikan cabaran skuad kendalian Massimiliano Allegri tidak boleh diperlekehkan ketika mereka mempersiapkan diri untuk melayan kunjungan Cheivo hari ini.

“Kami tidak mahu menamatkan saingan di tangga kedua, kami mahu memenangi liga. Kami boleh melakukannya, kami sedar hakikat itu selepas melihat reaksi mereka,” kata De Sanctis.

Hampir dua minggu lalu, peminat menyaksikan pertemuan sengit apabila kedua-dua pasukan meledak lima gol, tiga penalti dan dua kad merah serta jurulatih Roma Rudi Garcia diarah meninggalkan padang.

De Sanctis kelmarin terus mengulangi dakwaan yang dibuat kapten Giallorossi Francesco Totti bahawa keputusan pengadil lebih memihak kepada Juventus.

“Anda perlu tahu bagaimana untuk menerima kekalahan, tapi sukar untuk menerima sesetengah keputusan apabila anda merasakan ia tidak adil,” kata penjaga gol itu yang pernah mewakili Juve pada awal kariernya.

Ketika skuad juara menafikan tuduhan itu, pertahanan Juve, Angelo Ogbonna dilihat cuba memuji pasukan lawan apabila memberitahu Sky Sport: “Kami tidak memandang rendah mana-mana pasukan lawan.

“Roma pasukan hebat, mereka berjaya membuat pembelian pemain untuk menghadapi Liga Juara-Juara.”

Roma dan Juve dijangka akan merehatkan pemain utama minggu ini menjelang pertembungan Liga Juara-Juara menentang Bayern Munich dan Olympiakos.

Inter melayan kunjungan Napoli pada aksi hari ini dengan jurulatih pasukan tuan rumah Walter Mazzarri akan menjadi individu tumpuan.

Mazzari membantu Napoli muncul naib juara pada 2013, namun bergelut untuk meneruskan sentuhan magis bersama Nerazzurri yang kini jatuh ke tangga ke-10 akibat kekalahan berturut-turut kepada Cagliari (4-1) dan Fiorentina (3-0). - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Oktober 2014 @ 5:09 AM