Milan: Jurulatih Napoli Rafael Benitez (gambar) menuntut anak buahnya menumpukan lebih perhatian menjelang aksi di Palermo kerana perlawanan itu penting bagi menentukan hala tuju ke saingan Liga Juara-Juara musim depan.

Napoli menang empat perlawanan terakhir sekali gus mengukuhkan kedudukan di tangga ketiga Serie A dan perubahan mendadak itu turut meresahkan pasukan yang mahu mencabar kejuaraan liga, Roma.

Roma menamatkan keputusan seri yang sudah menjangkau empat perlawanan apabila menang minggu lalu, tetapi ketika skuad kendalian Rudi Garcia itu kini tujuh mata di belakang pendahulu Juventus, mereka hanya empat mata di depan Napoli.

Pemain Napoli sudah mula dapat menghidu tempat ke Liga Juara-Juara selepas gagal berbuat demikian sejak dua musim lalu selain tidak mampu melepasi peringkat kumpulan musim panas lalu.

Pemain tengah Marek Hamsik percaya pertemuan menentang Palermo malam ini pasti sengit.

“Kami mahu memburu tempat kedua dan merapatkan kedudukan dengan Roma. Bukan mudah bermain di Palermo dan jika anda ingat, mereka mengikat kami 3-3 di tempat kami. Bagaimanapun, kami ghairah untuk mengejar Roma,” kata pemain Slovakia itu.

Benitez mengingatkan pemainnya supaya tidak terlalu memikirkan soal akan datang.

“Kami perlu kekalkan tumpuan. Kami sudah menang empat perlawanan berturut-turut, tetapi hanya perlu fikirkan perlawanan selepas ini dan bukannya kedudukan dalam liga,” katanya.

Begitupun, peluang Napoli mengejar Juventus agak tipis, tetapi mereka mempunyai lonjakan lebih baik berbanding Roma.

Roma kehilangan kreativiti Gervinho selepas pemain itu beraksi di Piala Negara Afrika dan sekali lagi tidak dapat bermain ketika pasukannya menentang Parma malam esok. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Februari 2015 @ 5:19 AM