PENYERANG Juventus, Mario Mandzukic (tengah) menanduk masuk gol tunggal perlawanan. FOTO EPA
PENYERANG Juventus, Mario Mandzukic (tengah) menanduk masuk gol tunggal perlawanan. FOTO EPA
AFP

MILAN: Mario Mandzukic menjaringkan gol kemenangan Juventus ketika menewaskan AS Roma 1-0, awal pagi tadi sekali gus membolehkan juara bertahan itu mengekalkan rekod tanpa kalah musim ini dan di landasan tepat bagi merekodkan gelaran kelapan berturut-turut dalam saingan Serie A.

Penyerang Croatia itu menanduk masuk gol tunggal perlawanan pada minit ke-34 dan meletakkan Juventus kini berkelebihan lapan mata di depan Napoli.

“Kami melaksanakan tugas dengan baik, kami mara ke pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara dan kami juara musim sejuk,” kata jurulatih Juventus, Massimiliano Allegri merujuk kepada nama diberi kepada pasukan berada di kedudukan teratas liga sebelum Krismas.

Bagaimanapun, saingan Serie A akan berlangsung pada 26 dan 29 Disember ini sebelum berhenti rehat selama tiga minggu.

“Kami belum menang apa-apa lagi. Apa yang penting sekarang adalah kami berkelebihan beberapa mata di depan Napoli pada 29 Disember nanti,” kata Allegri.

Juventus yang hanya tercicir mata ketika menentang Genoa akan berkunjung ke Atalanta dan melayan kunjungan Sampdoria dalam dua perlawanan terakhir mereka sebelum menyambut tahun baru.

Roma yang menamatkan saingan musim lalu di tangga ketiga kini ketinggalan 25 mata di belakang Juventus dan jatuh ke tangga ke-10 liga.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Disember 2018 @ 11:24 AM