Milan: AC Milan yang beraksi 10 pemain memaksa AS Roma melakar keputusan seri pertama di gelanggang sendiri musim ini sekali gus menyebabkan pasukan kendalian Rudi Garcia itu ketinggalan tiga mata di belakang pendahulu Juventus, kelmarin.

Roma menggunakan kesempatan hasil dua keputusan seri juara bertahan Juve dengan mengurangkan defisit kepada satu mata.

Namun pada perlawanan terakhir tahun ini, Giallorossi yang dinafikan sepakan penalti pada babak penalti apabila Nigel De Jong jelas memegang bola, gagal memecah kebuntuan benteng utuh Milan di Stadio Olimpico.

Roma kekal di tangga kedua, tiga mata di belakang Juve yang menang 3-1 di Cagliari Khamis lalu, dengan Napoli di tangga ketiga sembilan mata di belakang. Milan kekal di tangga ketujuh namun hanya dua mata dipisahkan dengan Napoli.

Garcia mengakui pasukannya kurang kreatif, namun membayangkan Roma, yang bersaing bagi kejuaraan liga, Piala Itali dan Liga Europa, agak terjejas akibat jadual padat.

“Semua kelab menyambut baik rehat sementara ini, pemain bola sepak bukannya jentera, mereka tidak boleh beraksi 10 bulan tanpa rehat,” jelas Garcia. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Disember 2014 @ 7:33 AM