PROJEK pangsapuri dan pejabat Naza TTDI.
PROJEK pangsapuri dan pejabat Naza TTDI.

Kuala Lumpur: Naza TTDI Sdn Bhd memulakan tahun baru ini dengan memberi tumpuan kepada pembeli serta pelabur luar negara untuk projek hartanah mewah yang mempunyai nilai pembangunan kasar kira-kira RM1 bilion.

Syarikat itu dalam kenyataannya berkata, kempen untuk suku pertama akan dimulakan dari Lembah Klang, diikuti dengan pameran di Singapura dan Jakarta sebelum beralih ke negara lain.

Hartanah itu merangkumi unit kediaman dan komersial yang terletak di Shah Alam, Ampang, Kajang serta Kuala Lumpur dengan harga permulaan sebanyak RM500,000 hingga RM6.4 juta untuk pangsapuri, rumah teres, rumah berkembar dua, banglo dan pejabat.

Timbalan Pengerusi Eksekutifnya, SM Faliq SM Nasimuddin berkata, pembeli hartanah atau pelabur asing berasa amat yakin dengan kestabilan pasaran hartanah Malaysia berbanding negara lain di rantau ini.

“Harga berpatutan, undang-undang pelaburan yang ketat dan unjuran ekonomi yang kukuh menjadikan negara ini tempat yang sesuai untuk pelaburan,” katanya.

Produk ini bukan semata-mata untuk pembeli atau pelabur luar sahaja tetapi juga untuk rakyat Malaysia yang mahu membeli hartanah sebelum pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 January 2015 @ 5:04 AM