Kuala Lumpur: Pelaburan hartanah tidak hanya membabitkan strategi jualbeli, malah sewaan juga dilihat mampu menjana pendapatan tambahan kepada pemilik.

Pengasas Superior Wealth Master, Alan Poon berkata, beliau mencadangkan golongan pembeli kali pertama menjadikan hartanah mereka sebagai pelaburan melalui sewaan yang mampu menjana pendapatan konsisten.

“Apabila anda memasuki portfolio sewaan, mereka perlu tahu menguruskan perkara itu dengan sentiasa menimba ilmu berkaitan pengurusan hartanah terutama daripada aspek sewaan,” katanya pada sesi ceramah ‘Strategi Pengurusan Penyewa Bijak’ di sini, semalam.

Beliau berkata, pembeli boleh melakukan pelaburan terhadap hartanah lelong kerana ia adalah pilihan bijak untuk pelabur dalam pasaran sekunder.

Menurutnya, bakal pelabur perlu membuang persepsi negatif ke atas hartanah lelong dan mengambil peluang daripada hartanah berkenaan kerana ia memiliki harga lebih rendah sehingga 40 peratus dari harga pasaran.

“Mengapa ia pilihan bijak? Sebab utama adalah harga rendah yang ditawarkan dengan purata hartanah terbabit adalah berharga RM250,000 ke bawah. Paling menarik, anda mungkin mendapat hartanah di kawasan premier,” katanya sambil menambah kebanyakan individu beranggapan hartanah lelong menyusahkan berikutan terpaksa membida dan banyak halangan lain.

“Apa yang penting untuk memasuki pasaran lelong adalah perlu ada pengetahuan dan perlu banyak belajar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 January 2016 @ 5:03 AM