Kapten Ivory Coast, Yaya Toure yang juga bergelar Pemain Terbaik Afrika mengakui seronok memikul tanggungjawab membimbing generasi baru skuad The Elephants beraksi pada Kejohanan Negara-negara Afrika tahun ini.

Pemain yang menjadi tumpuan selepas persaraan pemain hebat, Didier Drogba daripada bola sepak antarabangsa tahun lalu menyaksikan skuad Ivory Coast memburu peluang terbaik menerusi gandingan adik-beradik Toure sebagai inspirasi sewaktu membuat persiapan menghadapi perlawanan pembukaan Piala Negara negara Afrika menentang Guinea di Malabo.

"Saya berurusan dengan tanggungjawab setiap hari selama bertahun-tahun sebagai seorang bapa dan sekarang kapten pasukan bola sepak Ivory Coast dan saya berasa sangat bangga," kata bintang Manchester City itu menjelang pertembungan Kumpulan D di Equatorial Guinea.

Dengan beberapa pemain veteran skuad itu yang mara final 2006 dan 2012 sudah bersara seperti pemain tengah Didier Zokora, jurulatih Herve Renard memberitahu hanya 13 ahli skuad itu beraksi pada Piala Dunia di Brazil tahun lalu.

"Dua atau tiga tahun lalu kami memiliki pasukan dengan karakter yang kuat. Kini dengan generasi baru skuad ini dan objektif saya membantu mencurahkan lebih banyak pengalaman kepada pasukan ini," kata Toure yang menjadi satu-satunya masih berada dalam skuad itu bersama abangnya, Kolo Toure yang beraksi pada final Piala Negara Afrika 2006 ketika tewas kepada Mesir.

"Dapat mencurahkan pengalaman baru setiap hari bagus kerana saya sering merujuk orang lebih berpengalaman dan belajar daripada mereka. Sudah tiba masanya saya berkongsi pengalaman."

Yaya Toure tidak berlatih bersama keseluruhan pasukannya kelmarin biarpun pemenang empat Pemain Terbaik Afrika itu menegaskan tindakan itu semata-mata sebagai langkah berhati-hati selepas melalui jadual perlawanan sibuk bersama kelabnya selepas Krismas dan Tahun Baru.

"Saya berasa sangat bagus buat masa ini. Ia sekadar berwaspada. Saya melalui banyak pengalaman beraksi dalam perlawanan Liga Perdana dan menjadi perkara biasa apabila datang ke sini."

The Elephants dijangka memiliki peluang lebih cerah berbanding jiran Afrika barat, Guinea pada perlawanan pembukaan walaupun Kolo Toure memuji persembahan cemerlang dipamer skuad dikenali Syli Nationale ketika pusingan kelayakan.

Guinea sentiasa beraksi cemerlang ketika menentang Ivory Coast sejak kebelakangan ini dan mereka bermain baik untuk layak daripada kumpulan bersama Ghana sedangkan Ivory Coast bertungkus lumus melepasi cabaran kumpulan.

"Sukan tetap sukan. Anda boleh menewaskan sesebuah pasukan sebanyak 10 kali dan kemudian bergelut menentang mereka," kata Yaya.

"Mereka pasukan bagus, bermain dengan baik dalam pusingan kelayakan dan berada dalam kumpulan sukar bersama Ghana. Kami pula pasukan muda berdepan kempen kelayakan sukar dan memenatkan.

"Bagaimanapun kami begitu bersemangat untuk menikmati saat terbaik dalam kejohanan ini dan mara lebih jauh biarpun kami tahu kami bukanlah pasukan pilihan," katanya.

Renard yang menjulang Zambia muncul juara Piala Negara negara Afrika 2012 dengan mengenepikan segala ramalan terhadap skuad itu dengan menundukkan Ivory Coast menerusi penentuan penalti pada final enggan memperbesarkan banyak pihak meletakkan harapan skuadnya antara pasukan pilihan.

"Apabila melayakkan diri dalam saingan ini anda sudah tentu mahu mara sejauh mungkin untuk menjulang trofi kejuaraan. Bagaimanapun itu adalah apa yang anda mahukan dan terdapat juga realiti," kata pengendali berkarisma dari Perancis itu yang bakal menyaksikan pasukannya bertembung dengan Cameroon dan Mali pada peringkat kumpulan.

"Banyak perkara perlu diambil kira sebagai pertimbangan. Terdapat pasukan yang sudah tentu lebih bersedia menghadapi kejohanan berbanding kami. Tetapi kami dapat juga berada dalam saingan ini.

"Menamatkan saingan sebagai juara kumpulan juga sangat penting dan kita akan lihat apa yang akan berlaku.

"Skuad ini adalah skuad baru. Sudah tentu asas pasukan ini adalah sesetengah pemain dengan pengalaman tetapi kami perlu mencari pemain baru, jadi persoalan utama sekarang adakah kami cukup kuat untuk menjuarai kejohanan ini?."

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 January 2015 @ 5:05 AM