TOURE (kanan) minta rakan pamer aksi terbaik.
TOURE (kanan) minta rakan pamer aksi terbaik.

Malabo, Equatorial Guinea: Walaupun membariskan pemain bertaraf bintang, Ivory Coast masih perlu bergantung kepada nasib untuk layak ke suku akhir Piala Negara-Negara Afrika.

Semua empat pasukan dalam Kumpulan D mengumpul dua mata selepas seri 1-1 dalam semua perlawanan.

Hari ini, Yaya Toure dan rakan sepasukannya dalam skuad Ivory Coast akan menentang Cameroon di Stadium Malabo manakala Guinea berdepan Mali di Mongomo.

“Kami akan bermain seperti seekor gajah bagi memastikan menang perlawanan ini,” kata pertahanan veteran Ivory Coast Kolo Toure.

“Perlawanan kali ini pasti berbeza dan saya tidak sabar menunggunya. Kami perlu memberikan segala-galanya bagi membuktikan kami adalah pasukan kuat.”

Andai masih banyak keputusan seri dicapai hari ini, pasukan yang akan layak ke suku akhir pasti sukar untuk ditentukan, tetapi jika dua perlawanan itu menyaksikan ada pemenang, maka pasukan yang berjaya akan melangkah ke kelompok lapan terakhir.

Skuad pilihan sebelum kejohanan bermula, Ivory Coast dan Cameroon memerlukan jaringan yang besar jika mahu bermain seri sambil berharap aksi di Mongomo juga berakhir seri.

“Kami akan bermain untuk menang,” kata jurulatih Cameroon Volker Finke. “Tapi kami perlu bekerja keras untuk mendapat bola. Ramai pemain bintang dalam skuad Ivory Coast.”

Selain Yaya Toure yang baru-baru ini dinobat Pemain Terbaik Afrika, Ivory Coast turut memiliki Wilfried Bony dan Salomon Kalou, tetapi mereka bakal kehilangan Gervinho apabila penyerang Roma itu digantung dua perlawanan akibat kad merah yang diterima pada perlawanan pembukaan.

Pada dua perlawanan pertama di Malabo, Ivory Coast perlu bangkit daripada ketinggalan sebelum seri. Mereka beroleh jaringan penyamaan yang disumbangkan Seydou Doumbia ketika menentang Guinea dan ledakan Max Gradel pada lewat permainan untuk seri menentang Mali. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 January 2015 @ 6:35 AM