DOUMBIA (kiri) jaring gol penyamaan Ivory Coast.
DOUMBIA (kiri) jaring gol penyamaan Ivory Coast.

Malabo, Equatorial Guinea: Pasukan pilihan Kumpulan D Cameroon dan Ivory Coast lega apabila bangkit daripada ketinggalan sebelum seri pada perlawanan pertama Piala Negara Afrika 2015 di Equatorial Guinea.

Ketinggalan satu gol dan kekurangan seorang pemain selepas Gervinho dibuang padang, Ivory Coast terpaksa berterima kasih kepada pemain gantian Seydou Doumbia yang membantu meraih satu mata ketika seri 1-1 di Stadium Malabo.

Tidak lama kemudian, giliran Cameroon bangkit untuk seri 1-1 dengan Mali apabila Ambroise Oyongo memadamkan gol pendahuluan Sambou Yatabare pada babak kedua.

Jurulatih Elephants, Herve Renard pantas menafikan peluang pasukannya merangkul kejuaraan sebenua buat kali pertama sejak 1992.

Guinea mendahului lapan minit sebelum rehat apabila penyerang Lyon, Mohamed Yattara merembat bola kencang selepas pertahanan Ivory Coast gagal menangani hantaran silang kapten Ibrahima Traore.

Gervinho, pemain paling rajin Ivory Coast yang menyaksikan rembatannya terkena tiang gol pada babak pertama, dilayangkan kad merah selepas sejam apabila bertembung dengan pertahanan Guinea, Naby Keita dalam kotak penalti lawan.

Percubaan Traore kemudian terkena palang buat Guinea, sebelum pemain gantian, Doumbia dari CSKA Moscow, hadir menyamakan kedudukan 18 minit sebelum tamat selepas gerakan menarik bersama Wilfried Bony.

“Jika ia sebelum perlawanan, kami pastinya tidak gembira dengan keputusan ini. Pada babak pertama kami tidak beraksi dengan baik, tapi harus mendahului dengan dua peluang Gervinho. Kemudian kami ketinggalan kerana kesilapan komunikasi pemain,” jelas Renard. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 January 2015 @ 8:18 AM