TIDUR mencukupi mencegah kelesuan badan.
TIDUR mencukupi mencegah kelesuan badan.
Nor 'Asyikin Mat Hayin


RAMAI gemar melakukan aktiviti kecergasan fizikal di luar rumah atau di gimnasium kerana lebih seronok dan memberikan kepuasan.

Bagaimanapun, pelaksanaan Perintah Kawalan dan Pergerakan (PKP) 3.0 dan penetapan prosedur operasi standard (SOP) menyebabkan aktiviti rutin ini tidak dapat dilakukan seperti kebiasaan.

Tentunya 'sekatan' ini menimbulkan kebosanan, lebih-lebih lagi ketika ini ramai bekerja dari rumah.

Namun, ia bukanlah alasan untuk melupakan aktiviti dan amalan yang boleh mengekalkan kesihatan serta kecergasan badan sepanjang tempoh berkenaan.

Lima perkara yang boleh dilakukan sepanjang bekerja dari rumah.

SENAMAN squats meningkatkan metabolism tubuh.
SENAMAN squats meningkatkan metabolism tubuh.

1. Senaman Squats

Senaman ini tidak sukar, tetapi perlu dilakukan dengan teknik yang betul bagi mengelakkan kesakitan di bahagian lutut atau belakang pinggang.

Ia senaman kardio yang berkesan untuk memperbaiki stamina dan meningkatkan metabolism.

Wanita digalakkan mengamalkan senaman ini kerana ia membantu membentuk tubuh yang cantik dan langsing.

Antara kelebihan senaman ini ialah menghilangkan selulit, mengecilkan paha dan punggung, menegangkan kulit, membakar lemak serta kalori.

Lakukan senaman ini 15 kali dan ulangi dua set setiap hari, anda akan merasai perubahan pada kesihatan tubuh.

2. Minum air secukupnya

Fungsi air minuman terhadap tubuh sangat besar iaitu memastikannya sentiasa sihat dan cergas.

Oleh itu, perlu pastikan mengambil lapan gelas air sehari bagi mengelakkan dehidrasi walaupun dalam tempoh PKP 3.0.

Dehidrasi menyebabkan individu berasa letih berpanjangan dan seperti kurang sihat.

Pengambilan air minuman boleh dimulakan pada awal pagi, sebaik bangun tidur hingga sebelum tidur.

3. Konsep Suku Suku Separuh

Konsep ini perlu diamalkan kerana ia adalah kunci untuk kesihatan dan kecergasan badan.

Ia terbahagi kepada suku pinggan karbohidrat, suku pinggan protein dan separuh pinggan adalah serat.

Pengambilan karbohidrat yang disarankan ialah dua atau tiga senduk untuk sekali makan manakala protein terdiri daripada ikan, ayam, daging dan sebagainya.

Untuk makanan, serat pula perlu diambil antara 20 hingga 30 gram sehari seperti sayur dan buah-buahan.

4. Zumba

Senaman berunsurkan tarian rancak ini mampu membuatkan tubuh mengeluarkan peluh.

Antara kebaikan berpeluh ialah menyingkirkan pelbagai racun daripada tubuh melalui pori-pori yang sangat baik untuk kesihatan.

Memadai melakukan tarian Zumba selama 30 minit sudah membuatkan anda 'bermandi' peluh.

Senaman ini lebih meriah dilakukan beramai-ramai, tetapi oleh kerana PKP dan mematuhi SOP, sebaik-baiknya dilaksanakan
dalam kumpulan yang kecil.

5. Tidur mencukupi

Jumlah waktu tidur yang disyorkan adalah berdasarkan kumpulan umur.

Contoh, kanak-kanak sekolah sekurang-kurangnya 10 jam sehari, remaja (9 hingga 10 jam sehari) dan dewasa (7 hingga 8 jam sehari).

Tidur yang cukup membuatkan badan berasa segar sebaik bangun tidur dan sepanjang hari.

Selain itu, tidur yang cukup juga menjadikan kulit sihat dan berseri.

Lakukan aktiviti fizikal pada siang hari untuk mendapatkan kualiti tidur malam yang lebih baik.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Mei 2021 @ 6:30 AM