Oleh Kelvin Khoo

Kuching: Ketiadaan pemain perseorangan nombor satu negara Datuk Lee Chong Wei memberi impak besar kepada barisan pemain badminton kebangsaan yang menyertai kejohanan utama badminton dunia musim ini.

Perkara itu diakui pemain perseorangan nombor kedua negara, Liew Daren yang menegaskan tugas digalasnya bukan mudah, terutama dalam meningkatkan prestasi musim ini sebagai persiapan menghadapi sukan Olimpik.

Daren yang mengetuai kontinjen negara di Kejohanan Badminton Yonex Sunrise Masters 2015 berkata, dia sedar tanggungjawab dipikul itu satu cabaran besar buatnya selaku pemain senior selepas ketiadaan Chong Wei.

Menurutnya, bahang itu sudah dirasai sepanjang kejohanan berlangsung dan menyifatkannya sebagai cabaran yang cukup berat.

“Sukar untuk kami kali ini sebab Chong Wei tidak ada, tapi masing-masing akan cuba buat yang terbaik untuk pasukan negara.

“Saya harap pasukan kebangsaan mampu menggalas cabaran diberikan dalam siri utama kejohanan dunia akan datang,” katanya selepas tamat perlawanan ketika berdepan rakan senegara, Zulfadli Zulkiffli, kelmarin.

Mengulas lanjut mengenai pencapaian pemain badminton negara pada kejohanan kali ini, Daren berkata, majoriti pemain menunjukkan aksi cemerlang dengan melayakkan diri ke peringkat seterusnya.

Daren sebelum itu meneruskan rentak kemenangan selepas menumbangkan Zulfadli (23-21, 22-20) dalam aksi pusingan kedua, namun tewas pada saingan suku akhir kepada pemain India, Ajay Jayaram (18-21, 23-21, 8-21).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 January 2015 @ 5:10 AM