Ketua Jurulatih perseorangan negara, Datuk Misbun Sidek memantau latihan Liew Daren. FOTO NSTP/BERNAMA
Ketua Jurulatih perseorangan negara, Datuk Misbun Sidek memantau latihan Liew Daren. FOTO NSTP/BERNAMA
BERNAMA

PEMAIN badminton perseorangan lelaki, Liew Daren mempunyai ramuan tersendiri untuk mengatasi juara dunia, Kento Momota pada aksi pertama acara badminton berpasukan Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang berdepan Jepun di Istora Senayan, esok.

Daren yang dipilih pada saat akhir menggantikan jaguh negara, Datuk Lee Chong Wei yang mengalami masalah pernafasan berkata beliau sudah membuat penilaian menjelang aksi itu untuk memastikan mata pertama menjadi milik skuad negara.

Pemain berusia 31 tahun itu menyedari Momota mempunyai keupayaan menguasai gelanggang dengan baik, namun mengakui dengan corak permainan yang pantas mungkin dapat membantunya menyekat pemain Jepun itu.

“Dia adalah seorang pemain yang handal dan saya akui memang agak sukar untuk mencuri mata daripadanya. Namun kelemahan dia (Momota) mungkin dari segi permainan yang pantas. Jadi saya perlu terus bermain corak pantas daripada awal.

“Saya berada pada tahap terbaik dan 100 peratus bersedia untuk memulakan cabaran esok,” katanya kepada media Malaysia pada sesi latihan rasmi di Istora Senayan di sini, hari ini.

Daren sebelum ini tewas 16-21, 5-21 di tangan Momota pada saingan separuh akhir Kejohanan Badminton Dunia BWF 2018 di Nanjing, China, awal bulan ini.

Sementara itu, ketua jurulatih perseorangan negara, Datuk Misbun Sidek berkata pemain negara sudah bersedia dari segenap aspek untuk berdepan naib juara Piala Thomas 2018 itu.

“Saya lihat mereka (pemain) daripada semalam sudah bersedia apabila kita diundi bertemu Jepun dan saya juga telah memberitahu mereka supaya tidak perlu risau. Kita sudah tahu kekuatan dan kelemahan mereka (Jepun) jadi apa yang penting mereka perlu kekal fokus dan memberikan yang terbaik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Ogos 2018 @ 6:07 PM