ANGGOTA keluarga mangsa yang mati kerana arak beracun meratapi kematian mereka di Malihabad, Uttar Pradesh, semalam.
ANGGOTA keluarga mangsa yang mati kerana arak beracun meratapi kematian mereka di Malihabad, Uttar Pradesh, semalam.

Lucknow: Sekurang-kurangnya 28 orang mati selepas meminum arak tercemar buatan sendiri di sini semalam, kejadian biasa dalam kalangan penduduk kampung yang tidak mampu membeli minuman keras berlesen.

Setiausaha Kerajaan Negeri Uttar Pradesh. Debashish Panda berkata, 15 orang mati di hospital semalam, manakala 90 lagi masih dirawat, menjadikan jumlah kematian 28 orang sejak kelmarin.

Semua mangsa berasal dari Malihabad, kira-kira 25 kilometer dari Lucknow, ibu negeri Uttar Pradesh.

Mereka sakit teruk selepas menikmati minuman berkenaan pada malam Ahad lalu.

Doktor di Universiti Perubatan King George, Kausar Usman berkata, jumlah kematian mungkin meningkat memandangkan ramai mangsa tenat.

Polis sudah menahan dua lelaki yang didapati membuat arak menggunakan metanol iaitu bahan kimia yang digunakan dalam industri pembuatan bahan api dan antibeku.

Kilang penyulingan tempat arak itu diproses dan dijual dibakar ahli keluarga mangsa yang marah, kata polis.

Kematian akibat minum arak adalah perkara yang biasa di India.

Pada 2008, 180 orang mati selepas minum arak beracun di Tamil Nadu dan Karnataka, menjadikannya insiden kematian berkait dengan arak paling teruk dalam tempoh beberapa tahun. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 January 2015 @ 6:42 AM