SEBAHAGIAN daripada kanak-kanak yang dirawat di Hospital Baba Raghav Das Hospital in Gorakhpur, India.  - EPA
SEBAHAGIAN daripada kanak-kanak yang dirawat di Hospital Baba Raghav Das Hospital in Gorakhpur, India. - EPA
Reuters

Lucknow: Sekurang-kurangnya 60 kanak-kanak mati sepanjang lima hari lalu di sebuah hospital kerajaan di utara India yang mengalami kekurangan bekalan oksigen.

Pegawai bimbang jumlah itu mungkin meningkat.

Pihak berkuasa berkata, mereka sudah menyiasat kejadian itu tetapi menafikan laporan yang mendakwa kekurangan oksigen menjadi punca kematian di Hospital Baba Raghav Das di daerah Gorakhpur di negeri Uttar Pradesh yang ditadbir oleh Parti Bharatiya Janata pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi.

Media India melaporkan, 30 kanak-kanak mati pada Khamis dan Jumaat lalu selepas bekalan oksigen ke wad terganggu, didakwa kerana bil pembekalnya tidak dibayar.

“Kami sudah menyiasat dan laporan awal akan dikeluarkan hari ini (semalam). Ya, 60 pesakit mati di hospital itu sepanjang lima hari lalu. Bagaimanapun kami tidak yakin ia ada kaitan dengan bekalan oksigen,” kata pegawai daerah Gorakhpur, Anil Kumar.

Kenyataan yang dikeluarkan pejabat ketua menteri Yogi Adityanath, menyatakan, semua 60 kematian berlaku di wad kanak-kanak sejak Isnin lalu.

Menurut kenyataan itu, 23 kanak-kanak mati Khamis lalu apabila tekanan oksigen rendah.

Akhbar Hindustan Times melaporkan suasana kelam-kabut berlaku di hospital itu semalam apabila bekalan oksigen masih terjejas.

“Walaupun 90 silinder besar oksigen digunakan untuk mengekalkan bekalan, hospital itu kehabisannya pada jam 1 tengah hari,” lapor akhbar itu.

“Keadaan kelam-kabut kemudian berlaku apabila anggota keluarga pesakit cemas berlari ke sana-sini untuk mendapatkan bantuan. Kakitangan hospital berusaha mengekalkan bekalan oksigen dengan bantuan beg pernafasan secara manual. Tetapi beberapa pesakit mula tidak sedarkan diri kerana tidak cukup bekalan,” menurut akhbar itu.

Anil berkata, pihaknya akan mendapatkan lebih banyak silinder oksigen dan sudahpun menjelaskan hutang kepada pembekal.

Dia berkata, kematian itu mungkin berpunca daripada sebab biasa kerana ramai pesakit di hospital itu memang sedia tenat.

Pemenang anugerah Nobel Keamanan yang juga aktivis hak asasi kanak-kanak di India, Kailash Satyarthi menulis di Twitter dengan menyifatkan kematian itu sebagai ‘pembunuhan beramai-ramai.’

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2017 @ 5:59 AM