PIHAK polis dan mayat seorang lelaki di Hospital Saharanpur yang maut akibat minum arak haram yang beracun di Uttar Pradesh. FOTO AFP
PIHAK polis dan mayat seorang lelaki di Hospital Saharanpur yang maut akibat minum arak haram yang beracun di Uttar Pradesh. FOTO AFP
AFP

NEW DELHI: Sekurang-kurangnya 99 mati dan sejumlah besar mangsa dirawat di hospital di utara India akibat minum arak haram yang beracun.

Kematian di negeri Uttar Pradesh serta Uttarakhand itu berlaku sejak tiga hari lalu dan polis percaya arak terbabit dicampur dengan methanol.

Arab murah banyak dijual di kawasan pedalaman India dan pembuat biasanya mencampurkan methanol iaitu alkohol yang tinggi toksik bagi menambah ‘kekuatan’ arak terbabit. Methanol juga digunakan sebagai bahan anti-beku.

Jika diambil dalam jumlah banyak, methanol boleh menyebabkan buta, kerosakan limpa dan kematian.

Jurucakap polis, Shailendra Kumar Sharma, berkata seramai 59 orang mati di sebuah daerah di Uttar Pradesh selepas minum arak haram itu.

Sehingga ini, 66 penjual arak haram itu sudah ditahan dan contoh minuman terbabit sudah dihantar ke makmal untuk ujian.

Menurut polis, sekurang-kurangnya 31 orang mati di negeri Uttarakhand dan dua penjual ditahan.

Laporan akhbar India menyatakan, kira-kira 3,000 orang ditahan berkaitan pengedaran dan penjualan arak haram di seluruh Uttar Pradesh.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Februari 2019 @ 7:42 PM