Oleh Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail

Petra Jaya: Mantan Yang di-Pertua Negeri Tun Abdul Rahman Yaa'kub menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Pakar Normah, di sini, 9.30 malam tadi.

Allahyarham meninggal dunia akibat masalah kesihatan dan sakit tua.

Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem, berkata seluruh rakyat Sarawak berdukacita dengan kehilangan satu tokoh penting dalam sejarah negara.

Katanya, Allahyarham antara yang terbabit dalam pembentukan Malaysia.

"Selain itu, Allahyarham banyak berjasa dalam sistem pendidikan negara dan banyak lagi sumbangan beliau kepada pembangunan negeri serta negara ini," katanya.

Jenazah dibawa pulang ke rumah di Jalan Tun Abdul Rahman Petra Jaya.

Yang di-Pertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud dan isteri Toh Puan Ragad hadir memberikan penghormatan terakhir. Turut hadir Menteri Kabinet Negeri dan pegawai kanan kerajaan.

Jenazah akan dibawa ke Masjid Jamek Sarawak, pada 10 pagi, untuk penghormatan terakhir dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Samariang selepast solat Zuhur.

Upacara penghormatan terakhir bagi orang awam bermula 10.30 pagi hingga 12 tengah hari, manakala orang kenamaan pada 11.30 pagi hingga 12.30 tengah hari.

Orang awam yang datang untuk memberi penghormatan terakhir diminta menggunakan pakaian kebangsaan warna hitam bagi lelaki, manakala baju kurung berwarna gelap untuk wanita.

Mereka yang bukan beragama Islam diminta menggunakan pakaian berwarna gelap.

Sebagai menghormati hari pengebumian, kerajaan negeri mengarahkan semua bendera negeri dan persekutuan dikibarkan separuh tiang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 January 2015 @ 10:26 PM