Mohd Roji Kawi


Kuching: Suasana pilu menyelubungi Tanah Perkuburan Demak Jaya, di sini, ketika jenazah bekas Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud yang meninggal dunia di Kuala Lumpur semalam, dikebumikan pada 1.50 tengah hari tadi.

Hujan renyai turut mengiringi pengebumian tokoh negarawan Sarawak itu yang disaksikan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah; anakanda baginda Pengiran Muda Abdul Mateen Bolkiah dan Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Kira-kira 1,000 ahli keluarga, kenamaan, pegawai kerajaan serta orang awam memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Pengebumian Allahyarham Abdul Taib yang dijalankan dengan istiadat penghormatan negeri turut dihadiri Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg serta tiga timbalannya, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.

Terdahulu, jenazah Allahyarham ditempatkan di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada 7.50 pagi bagi membolehkan rakyat memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham yang juga bekas Ketua Menteri Sarawak selama 32 tahun.

Pada 11.30 pagi jenazah dibawa ke Masjid Demak Jaya dan solat jenazah yang diketuai Imam Besar Negeri Sarawak, Datuk Mustapha Kamal Ahmad Fauzi dijalankan selepas waktu Zohor.

JENAZAH Tun Abdul Taib Mahmud dibawa keluar dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak selepas Istiadat Penghormatan Negeri, hari ini. FOTO Bernama.
JENAZAH Tun Abdul Taib Mahmud dibawa keluar dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak selepas Istiadat Penghormatan Negeri, hari ini. FOTO Bernama.

Jenazah Allahyarham kemudiannya dikebumikan di sebelah kubur isterinya, Allahyarham Puan Sri Laila Taib di Tanah Perkuburan Demak Jaya, yang terletak bersebelahan masjid berkenaan.

Abdul Taib, meninggal dunia pada 4.40 pagi semalam selepas 10 hari dirawat di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur pada usia 87 tahun.

Beliau diterbangkan ke Kuala Lumpur pada 10 Februari lalu untuk mendapatkan rawatan lanjut selepas keluar dari unit rawatan rapi (ICU) Pusat Perubatan Pakar Normah, Petra Jaya pada tengah malam 4 Februari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2024 @ 3:41 PM