NAZIFUDDIN (tiga kiri) menyampaikan trofi kepada wakil pemenang.
NAZIFUDDIN (tiga kiri) menyampaikan trofi kepada wakil pemenang.

Kuala Lumpur: Majlis Sukan Politeknik menempa sejarah tersendiri apabila menganjurkan karnival sukan dengan penyertaan 1,600 atlet, pegawai dan sukarelawan dari seluruh Malaysia.

Temasya sukan itu dianjurkan di tiga politeknik berasingan di Nilai, Port Dickson dan Shah Alam mempertandingkan 10 acara sukan seperti bola sepak, bola tampar, bola jaring, sepak takraw, badminton, ping pong, bowling, petanque, skuasy, serta ragbi.

Majlis penutupan dirasmikan Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Mohd Nazifuddin Najib di Politeknik Nilai, baru-baru ini.

Nazifuddin berkata, warga politeknik harus berbangga dengan penganjuran kali ini kerana ia memberi manfaat yang besar kepada individu dan organisasi.

“MOM menyokong usaha pihak politeknik yang mewujudkan pusat pembangunan sukan seperti taekwondo dan ragbi sebagai contoh kerana dapat membekal atlet berkualiti dalam arena sukan negara.

“Kami juga berbesar hati menyediakan ruang dan peluang kepada Politeknik Malaysia untuk sentiasa bekerjasama dengan persatuan sukan sebagai Rakan Pembangunan Sukan Negara,” kata Nazifuddin.

Beliau turut memuji atlet yang menunjukkan kesungguhan dan komitmen dalam mengharungi cabaran sepanjang pertandingan diadakan dan berharap mereka tidak berputus asa memperbaiki kelemahan supaya terus cemerlang dalam sukan diceburi.

Karnival sukan kali ini disertai 13 negeri dengan 27 emas dipertandingkan. Kontinjen Perak muncul juara keseluruhan dengan kelebihan tiga gangsa, walaupun berkongsi empat emas dan tiga perak dengan Terengganu yang menduduki tempat kedua dan Johor ketiga.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Mei 2017 @ 8:47 AM