MIKE harap MOM buat rayuan. FOTO Bernama
MIKE harap MOM buat rayuan. FOTO Bernama
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Atlet bina badan negara, Datuk Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah nyata kecewa dengan keputusan tuan rumah Kemboja menggugurkan sukan kegemarannya itu pada saat akhir untuk temasya Sukan Sea edisi ke-32.

Syarul atau lebih disapa sebagai Mike memberitahu, beliau telah banyak berkorban masa dan wang ringgit bagi mempersiapkan diri untuk mempertahankan pingat emas yang dimenanginya di Hanoi tahun lalu.

Justeru beliau berharap, ada pihak seperti Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk melakukan rayuan bagi memastikan sukan berkenaan dipertandingkan pada edisi kali ini.

"Memang kecewa dengar cerita seperti ini. Kami sudah berada dalam fasa latihan sebagai persediaan dan apabila mendapat khabar ini, sudah tentunya agak mengecewakan.

"Mula-mula mereka kata 15 kategori (dipertandingkan), jadi kita boleh menyasarkan dua atau tiga pingat emas, namun apabila dapat khabar ini, memang kecewa. Malah kami juga sudah mengeluarkan perbelanjaan untuk suplemen dan sebagainya.

"Memang sedih kerana sukan bina badan, persiapan bukannya dalam dua tiga bulan, ia memerlukan tempoh masa yang lama. Jadi saya harap, kalau boleh perjuangkan tolonglah perjuangkan kerana takkan kita nak rugi dua tiga emas.

Perkara ini boleh diperjuangkan kerana sepatutnya mereka (tuan rumah) mengumumkan (pengguguran) enam bulan sebelum temasya dan bukannya dalam tiga bulan (sebelum temasya). Oleh itu, saya harap MOM atau yang lain, tolonglah perjuangkan dan berbincang dengan negara lain (bagi memastikan sukan bina badan dipertandingkan),"katanya.

Media tempatan sebelum ini melaporkan Kemboja menggugurkan sukan bina badan daripada senarai sukan dipertandingkan pada temasya Mei ini dan ia disahkan Setiausaha Agung MOM, Datuk Nazifuddin Najib.

Nazifuddin dilaporkan berkata, pihaknya menerima surat pengguguran sukan berkenaan pada 5 Januari lalu daripada Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Kemboja (CAMSOC) tanpa memberi sebab yang kukuh.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Februari 2023 @ 2:21 PM