NAZIFUDDIN menjawab soalan media ketika temubual. FOTO/ MOHD YUSNI ARIFFIN
NAZIFUDDIN menjawab soalan media ketika temubual. FOTO/ MOHD YUSNI ARIFFIN
Aida Adilah Mat

ANGIN perubahan perlu dilakukan dalam Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan itu antara misi ingin dibawa Datuk Mohd Nazifuddin Najib menjelang pemilihan badan induk sukan negara itu pada pada 5 Mei ini.

Nazifuddin yang menyandang jawatan Naib Presiden MOM bakal bertanding merebut jawatan Setiausaha Agong dan akan mencabar penyandang, Datuk Low Beng Choo bagi penggal baharu pemilihan MOM.

Beliau sedar tugas Setiausaha Agong itu lebih mencabar berbanding Naib Presiden namun pendekatan golongan muda tegasnya perlu dibawa masuk ke dalam MOM.

“Banyak perlu diperbetulkan. Saya mahu perluaskan lagi fungsi dalam MOM. Satu penggal saya berada dalam dalam MOM dan saya tahu bagaimana perjalanan operasinya.

“MOM sebenarnya perlu lebih telus dalam setiap proses pemilihan dan perlu ada hubungan yang baik sebagai satu keluarga dan membantu semua persatuan sukan. Jangan ada sikap pilih kasih.

“Saya mahu jadikan MOM sebagai satu institusi kuat dan bukan institusi individu kerana ketika ini ramai yang beranggapan MOM sebegitu. Konsep itu perlu diubah,” katanya.

Tegasnya MOM perlu menjalankan tugas dengan lebih meluas kerana ia adalah ‘bapa’ kepada sukan di negara ini.

Begitupun Nazifuddin yang juga Timbalan Presiden Taekwondo Malaysia, menghormati Beng Choo yang memang diketahui sebagai seorang berpengalaman dalam sukan yang juga rakan seperjuangannya dalam MOM.

Namun sistem yang ada dalam MOM itu tegasnya, perlu dinaik taraf supaya Malaysia boleh melahirkan lebih ramai atlet bertaraf dunia dengan langkah menolong dan mendekatkan diri dengan semua persatuan sukan di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 April 2018 @ 8:54 PM