Nazifuddin Mohd Najib
Nazifuddin Mohd Najib
Naqib Nor Said


HASRAT Datuk Ong Kim Swee untuk melihat skuad bawah 23 tahun (B-23) negara disenaraikan dalam kategori A ke Sukan Asia Jakarta-Palembang pada Ogos ini tidak kesampaian.

Ini selepas Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengambil keputusan untuk meletakkan syarat skuad negara perlu berada pada kedudukan ranking empat terbaik untuk layak.

Bola sepak pada awalnya dilihat berpeluang disenaraikan ke dalam kategori utama selepas mencapai kejayaan mara ke suku akhir Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23, pada Januari lalu.

Bukan setakat bola sepak harus menanggung perbelanjaan sendiri, tetapi beberapa sukan lain seperti sepak takraw (wanita) dan ragbi 7 sebelah turut senasib apabila diletakkan dalam kategori B.

“Daripada pertemuan kita dengan wakil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini, kita berpandangan adalah sukar untuk mereka meraih pingat Sukan Asia,” kata Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd Nazifuddin Najib.

“Tidak adil untuk bola sepak disenaraikan dalam kategori A, sedangkan banyak persatuan sukan lain turut kurang gembira apabila beberapa atlet mereka terpaksa dimasukkan ke dalam kategori B.

“Keputusan untuk memperketatkan syarat ini dibuat supaya kita lebih konservatif dan bukan sewenang-wenangnya menghantar atlet ke Sukan Asia,” katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Terakhir ke Sukan Asia Indonesia di Wisma MOM di sini hari ini.

Sebanyak 11 persatuan sukan menghadap jawatankuasa pemilihan itu yang dipengerusikan oleh Presiden MOM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria untuk dipertimbangkan sama ada layak beraksi di Sukan Asia, Ogos ini.

Selain bola sepak, pemimpin persatuan sukan yang turut membentangkan kes mereka ialah akuatik, badminton, skuasy, silat, karate, pelayaran, ragbi, sepak takraw, bola keranjang dan tenpin boling.

Daripada semua sukan itu, hanya 155 atlet terpilih dengan 95 mengikut kategori A manakala 60 (kategori B).

Nazifuddin tidak menafikan daripada jumlah awal itu kemungkinan kecil Malaysia hanya akan menghantar kontinjen lebih kecil kali ini.

“Sebenarnya kita mengharapkan Majlis Sukan Negara mendapat peruntukan yang lebih besar supaya boleh menghantar lebih ramai atlet, tetapi daripada gambaran awal saya merasakan kita mungkin hanya menghantar kira-kira 300 atlet kali ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Jun 2018 @ 6:20 PM