Gambar ini adalah ihsan Bomba dan Penyelamat Malaysia
Gambar ini adalah ihsan Bomba dan Penyelamat Malaysia
Raja Noraina Raja Rahim


Nilai: Seorang lelaki dikatakan sengaja memabukkan diri dan bertindak membakar rumahnya di Taman Ros, Mantin, di sini, malam tadi.

Lelaki berusia 34 tahun itu yang dikatakan mengalami tekanan jiwa kerana dibuang kerja bertindak membakar ruang tamu rumah sebelum menjerit memberitahu jirannya, pada 8.30 malam.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Zaldino Zaludin, berkata siasatan awal mendapati suspek yang juga anak pemilik rumah sengaja memabukkan diri.

“Siasatan awal juga mendapati suspek dipercayai mengalami tekanan perasaan akibat dibuang kerja,” katanya.

Beliau berkata, suspek ditahan bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat menggunakan api.

Semenatra itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Mantin Azmi Hamid berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian pada 8.37 malam.

Menurutnya, bomba yang menerima panggilan daripada jiran keluarga itu kemudian menghantar satu jentera bersama enam anggota ke lokasi kejadian.

"Bomba mengambil kira-kira 45 minit untuk memadamkan kebakaran sepenuhnya.

“Rumah berkenaan musnah 85 peratus namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mei 2017 @ 10:53 AM