Muhammad Khalil (tengah).
Muhammad Khalil (tengah).
Hairulazim Mahmud dan Aizat Sharif


Alor Setar: Ketua Pemuda PAS yang baharu Muhammad Khalil Abdul Hadi secara sinis mengingatkan pengejek yang menggelar PAS sebagai 'parti pak lebai' bahawa parti itu terbukti bersih daripada kekotoran politik sekular.

Tegasnya, parti berkenaan juga berjaya 'melebaikan' golongan profesional dan para aktivis supaya lebih memahami politik Islam.

"Meskipun di luar sana terbit suara-suara yang memandang sinis PAS sebagai 'parti pak lebai' namun parti inilah yang akan menjadi benteng utama mempertahankan Islam dalam negara kerana manhaj politik kami adalah politik Islam yang meletakkan Islam di hadapan dan tidak meletakkan akal semata-mata apatah lagi hawa nafsu di hadapan," katanya

Beliau berkata demikian semasa sesi penggulungan Muktamar Tahunan PAS ke-63 di Kompleks PAS Kota Sarang Semut, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Muhammad Khalil berkata, Dewan Pemuda menyedari sasaran dakwahnya dan medan tempur utama ialah anak muda yang begitu lunak didedahkan dengan pelbagai godaan berita palsu, cabaran dunia digital tanpa sempadan, pendedahan kepada pelbagai aliran pemikiran bukan arus perdana.

"Aliran-aliran sesat ini kembali meracuni pemikiran mereka akibat serangan idea-idea liberalisme dan sekularisme yang berselindung di bawah pelbagai badan bukan kerajaan yang didokongi parti-parti antiIslam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mei 2017 @ 3:51 PM