DR Mohd Mazri bersama pimpinan Perikatan Nasional pada pengumuman calon baru-baru ini. FOTO Arkib NSTP.
DR Mohd Mazri bersama pimpinan Perikatan Nasional pada pengumuman calon baru-baru ini. FOTO Arkib NSTP.
Alias Abd Rani


Muar: Calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Dr Mazri Yahya mahu memecahkan tanggapan lawan terutama DAP yang melabelkan partinya hanya untuk 'pak lebai' pada Pilihan Raya Raya Kecil (PRK) bulan depan.

Pakar bedah itu berkata, ia perlu dihapuskan kerana beliau percaya masyarakat bukan Islam akan faham bahawa perjuangan PAS ini jauh lebih baik daripada yang ditawarkan parti lain.

"Salah satu sebab kenapa PAS letakkan saya di sini adalah untuk memecahkan stereotaip DAP yang mana dalam mereka sering 'menjaja' cerita itu sehingga pengundi bukan Melayu takut.

"DAP ini dia sentiasa ceritakan mereka yang bersama PAS iaitu golongan pak lebai, agama, yang mempunyai pandangan ekstrem tetapi sebenarnya bukan begitu.

"Walaupun mereka memberikan tanggapan silap bahawa kepimpinan Melayu Islam ini orang berserban berjubah, tapi ada juga datang dari kalangan profesional," katanya ketika ditemui.

Menurutnya, punca besar ialah mereka tidak mendapat gambaran sebenar dan PRK ini mungkin menjadi peluang bagi PAS khususnya untuk menjelaskan realiti perjuangan kepada bukan Melayu di Johor.

Dalam pada itu, Dr Mazri berkata, pola atau sentimen pengundi pada ketika ini hampir sama sewaktu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) di mana sokongan masih berpihak kepada PN.

Jelasnya, sokongan itu meningkat sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Mac tahun lalu apabila undi diterima PN ketika itu naik tiga kali ganda.

"Pada 2018, sentimen pada ketika itu ialah mereka mahukan Najib (Datuk Seri Najib Razak) turun dan masyarakat akan memilih mana-mana parti mempunyai pengaruh lebih besar dalam mencapai tujuan itu.

"Kemudian datang PRU15 tahun lalu dan berlaku perubahan sentimen dalam polar pengundian masyarakat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Ogos 2023 @ 12:17 PM