ABDUL Hadi
ABDUL Hadi
Hanneeyzah Bariah BaharinHelmy Abd Rahman dan Adrian David dan Faizul Azlan Razak

Marang: Selepas 36 tahun atau lapan penggal, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang melepaskan legasinya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang dan hanya bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Marang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini.

PAS meletakkan Setiausaha Politik Abdul Hadi Prof Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bertanding kerusi DUN itu.

Ketua Pemuda PAS negeri yang juga anak Abdul Hadi, Muhammad Khalil pula buat julung kali bertanding pada PRU kali ini di DUN Batu Buruk menggantikan penyandang Syed Azman Syed Ahmad Nawawi.

Pengumuman dibuat Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Husain Awang di depan lebih 5,000 penyokong parti pada Majlis Pengisytiharan Calon PAS Terengganu PRU-14 di Dewan Tok Guru, Rusila di sini, malam kelmarin.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Husain Awang berkata, PAS mempertaruhkan 19 muka baru iaitu 15 di kerusi DUN dan empat di Parlimen.

Beliau berkata, daripada keseluruhan 40 calon, 60 peratus terdiri daripada calon berlatarbelakangkan pengajian Islam, profesional (22 peratus) dan selebihnya usahawan berjaya.

Katanya, semua 32 kerusi DUN dan lapan Parlimen ditandingi calon yang juga ahli parti berkenaan.

“Ini sekali gus menangkis dakwaan segelintir pihak menuduh PAS bekerjasama dengan parti lain pada PRU kali ini,” katanya.

Semua Ahli Parlimen dan ADUN PAS yang menang dalam PRU13 lalu masih disenaraikan kembali bertanding mempertahankan kerusi masing-masing kecuali di DUN Batu Buruk dan Wakaf Mempelam.

Selain Muhammad Khalil yang akan bertanding di Batu Buruk, Yang Di Pertua PAS Kawasan Kuala Terengganu, Wan Sukairi Abdullah menggantikan penyandang empat penggal Abdul Wahid Endut di kerusi Wakaf Mempelam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 April 2018 @ 4:00 AM