Oleh Hairulazim Mahmud

Kuala Lumpur: “PAS sedia memaafkan dan melupakan salah silap UMNO,” kata Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata, sikap keterbukaan itu adalah ciri-ciri perjuangan PAS yang membuka pintu kepada sesiapa pun yang sedia bersama parti berkenaan berjuang dengan prinsip perpaduan berdasarkan syariat Islam.

Katanya, sebelum ini, ramai pemimpin dari parti lain, termasuk UMNO sendiri menyertai PAS seterusnya diberi kedudukan yang baik sebagai tanda penerimaan ahli parti berkenaan.

“Itu antara ciri-ciri yang ada dalam perjuangan PAS, ia bukan perkara baru dalam perjuangan parti Islam berkenaan.

“Kata kunci perpaduan berdasarkan syariat itu kita bersama dengan mana-mana pihak sama ada orang Islam atau bukan Islam, itu kenyataan Presiden (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) jelas,” katanya kepada media selepas Majlis Perasmian Persidangan Agung Tahunan Keenam Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), semalam.

Majlis itu disempurnakan oleh bekas Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Sanusi Junid.

Kehadiran beliau bersama Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat Datuk Mustafa Ali adalah kali pertama dalam sejarah parti itu yang kini menjalin hubungan dalam isu kebersamaan dengan Perkasa.

Dalam pada itu, Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, isu perpaduan ummah yang menjadi bualan hangat kebelakangan ini banyak bergantung kepada perancangan PAS dan UMNO.

Beliau berkata, ahli parti juga diberikan pemahaman berkaitan isu berkenaan bagi mengelakkan salah faham.

“Kejayaan perpaduan itu bergantung kepada perancangan kedua-dua pihak dan kita dalam proses untuk beri penjelasan menyeluruh kepada ahli mengenai hasrat dan perkara ini, tetapi dalam kepemimpinan PAS, apa yang dibawa Presiden ini adalah keputusan kolektif parti,” katanya.

Menurutnya, PAS sudah berjuang atas dasar Islam dan apabila sampai ketikanya, ada pihak mengambil prinsip sama maka parti akan bersikap terbuka untuk sama-sama menjayakan agenda besar itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Disember 2015 @ 8:04 AM