Hanneeyzah Bariah Baharin


MUKTAMAR Tahunan PAS Ke-64 yang dinanti-nanti bermula di Kuala Terengganu, hari ini dengan Muktamar Dewan Ulama PAS menjadi pembuka tirai.

Muktamar Dewan Pemuda PAS juga akan berlangsung petang ini di Pulau Duyong, dengan muktamar selama empat hari ini dijangka menjadi yang paling panas dalam sejarah.

Muktamar Ulama PAS dirasmikan Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin, manakala Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man membuka tirai mesyuarat perwakilan Pemuda Pas.

DIjangka lebih 10,000 akan menghadiri muktamar yang kemuncak acaranya iaitu Muktamar PAS Pusat akan berlangsung di Stadium Tertutup Gong Badak, bermula Sabtu ini.

Muktamar Dewan Muslimat PAS pula akan bermula esok di Taman Tamadun Islam, di sini.

Muktamar kali ini dilaporkan bakal menjadi pencorak hala tuju parti berteraskan Islam itu dalam membentuk hubungan kerjasama dengan parti pembangkang termasuk UMNO yang menjadi seteru politik PAS selama ini.

Pastinya apa yang menjadi tumpuan ramai dalam muktamar kali ini ialah ucapan dasar Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Muktamar PAS Pusat Sabtu ini, dalam mencatur apa yang diuar-uarkan sebagai kerjasama politik baharu itu.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi antara pe­mimpin parti pembangkang yang sudah mengesahkan untuk hadir dan secara ‘berdepan’ berpeluang mengikuti ucapan Abdul Hadi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 September 2018 @ 2:52 PM
PERWAKILAN yang hadir  pada majlis perasmian Muktamar Tahunan Dewan Ulama PAS Pusat Kali ke-57. FOTO Ghazali Kori
PERWAKILAN yang hadir pada majlis perasmian Muktamar Tahunan Dewan Ulama PAS Pusat Kali ke-57. FOTO Ghazali Kori