Kuala Lumpur: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) akhirnya menyerahkan jawapan kepada Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) semalam berhubung tindakan pembetulan seperti yang diarahkan oleh Pesuruhjaya Sukan pada 24 Oktober lalu selepas tempoh penggantungan sebulan berakhir semalam.

Pesuruhjaya Sukan Ahmad Shapawi Ismail berkata, kini pihaknya memerlukan masa kira-kira seminggu sebelum memutuskan sama ada pendaftaran badan induk itu dibatalkan atau sebaliknya.

“Kita sudah terima tindakan pembetulan yang diambil oleh PKBM ekoran daripada arahan kita semasa penggantungan dan pihak PPS akan meneliti tindakan itu bersama dengan Unit Audit Dalaman KBS (Kementerian Belia dan Sukan) sama ada boleh diterima atau tak tindakan itu.

“Sekiranya tidak berpuas hati, maka tindakan pembetulan akan menyusul,” katanya.

Sementara itu, Shapawi berkata, PPS sudah mengarahkan Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) untuk melakukan rundingan secara baik bersama salah seorang ahli gabungan mereka, Mohd Radzi Mat Rashid yang tidak berpuas hati dengan perjalanan pemilihan ahli jawatankuasa pada Mesyuarat Agung KLFA, September lalu.

“Cara rundingan itu terpulang kepada KLFA. Sama ada mengadakan mesyuarat bersama si pengadu atau pun cara lain. Yang penting buat rundingan secara baik.

“Sebab perkara ini membabitkan persatuan dan ahli gabungannya,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menerusi laporan Arena Metro kelmarin, Mohd Radzi mendakwa PPS begitu lewat menyemak aduannya berhubung pemilihan ahli jawatankuasa Mesyuarat Agung KLFA, September lalu.

Dalam perkembangan lain, Shapawi mengesahkan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) sudah pun menghantar laporan tahunan mereka pada Khamis lalu dalam proses untuk mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk itu pada tahun ini.

Jelas Ahmad Shapawi, kini beliau perlu menyemak dulu segala laporan yang dikemukakan oleh MHC.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 November 2014 @ 5:10 AM