KERANDA dengan jenazah Presiden Islam Karimov diusung di Dataran Registan di Samarkand selepas solat jenazah untuk dikebumikan di  tanah perkuburan  Shahi Zinda.  - EPA
KERANDA dengan jenazah Presiden Islam Karimov diusung di Dataran Registan di Samarkand selepas solat jenazah untuk dikebumikan di tanah perkuburan Shahi Zinda. - EPA
Agensi

Samarkand: Presiden Uzbekistan, Islam Karimov semalam dikebumikan dalam satu majlis yang dikawal ketat di bandar kelahirannya di sini selepas meninggal dunia kelmarin.

Kematian pemimpin berusia 78 itu sekali gus meletakkan Uzbekistan dalam suasana tidak ketentuan paling buruk dalam sejarah selepas era Soviet dengan tidak ada bakal pengganti untuk mengambil alih pentadbiran kuku besinya.

Islam diserang strok hujung minggu lalu dan koma sehingga diisytiharkan meninggal dunia kelmarin.

Majlis pengebumian pemimpin yang memerintah negara bekas Soviet itu selama hampir 27 tahun semalam disusuli dengan perkabungan selama tiga hari.

Menurut laporan dari Samarkand - bandar yang terkenal sebagai bandar Laluan Sutera dan menempatkan makam panglima perang terkenal abad ke-14, Timur atau Tamerlane - polis mengepung pusat bandar itu dan tidak membenarkan rakyat biasa atau kereta melaluinya.

Turut hadir pada majlis pengebumian itu ialah Perdana Menteri Russia, Dmitry Medvedev, Presiden Tajikistan, Turkmenistan, Perdana Menteri Kyrgyzstan, Belarus dan Kazakhstan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 September 2016 @ 5:17 AM