Ahmad Zahid diiringi Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, melawat pameran. FOTO Edmund Samunting
Ahmad Zahid diiringi Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, melawat pameran. FOTO Edmund Samunting
Syah Rul Aswari Abdullah


Semporna: UMNO sentiasa membuka pintu kepada bekas ahlinya untuk kembali menyertai parti itu, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ia termasuk kepada sesiapa sahaja yang sudah menyertai parti lain.

"Mana-mana yang terikut dan terpengaruh, kembalilah ke pangkal jalan, pintu terbuka dengan luas kepada mereka itu," katanya.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata demikian ketika merasmikan Akademi Pengajian al-Quran Semporna (APAQS) di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

Dalam sidang media selepas itu, Ahmad Zahid berkata, UMNO yakin pihaknya mampu menarik sokongan rakyat terhadap parti itu di kerusi Parlimen Semporna.

Katanya, ia berdasarkan kajian politik terhadap penerimaan akar umbi selepas Ahli Parlimen Semporna Datuk Seri Mohd Shafie Apdal keluar UMNO pada tahun lalu.

Beliau berkata, meskipun pembangkang dilihat gemar 'menyimbah minyak ke api', realitinya rakyat mahu kesinambungan pemerintahan kerajaan sedia ada.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid turut menyaksikan penyerahan borang keahlian ahli Parti Warisan Sabah (Warisan) untuk kembali menyertai UMNO.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 April 2017 @ 1:46 PM