Anggota bomba mengeluarkan mangsa. FOTO ihsan pembaca
Anggota bomba mengeluarkan mangsa. FOTO ihsan pembaca
Noor Hidayah Tanzizi


Manjung: Seorang pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) maut selepas Proton Savy dipandu terbabas dan melanggar pokok di Kilometer 7 Jalan Sitiawan-Lumut, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 7.50 pagi itu, Mat Rozali Hussain, 49, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di beberapa bahagian badan.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Tengku Mohd Zailan Tengku Ahmad Shah berkata, siasatan awal mendapati kereta dipandu mangsa dari arah Sitiawan menghala ke Lumut.

“Apabila tiba di tempat kejadian, kereta mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan dan melanggar pokok.

"Kemalangan itu menyebabkan mangsa parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Tengku Zailan berkata, mayat dibawa ke Jabatan Forensik Forensik Hospital Seri Manjung untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 April 2017 @ 12:00 PM